‘The Wild Robot’ – Kasih ‘Ibu’ Tiada Sempadan
*Ulasan filem ‘The Wild Robot’ ini adalah dari pendapat dan pandangan peribadi saya dari sudut ‘parenting’ dan ‘bonding’ ibu bapa – anak sahaja, tiada kena mengena dengan sesiapa atau sudut teknikal pemfileman.
Semalam, 14 September 2024 saya menonton filem ‘Wild Robot’ bersama anak-anak dan suami.
Ia mengisahkan satu robot AI yang ‘terkandas’ (macam tersasar) ke satu kawasan perhutanan yang alami dan bersih dari arus pemodenan. Maksudnya ia ‘purely’ alam bersih, dengan binatang-bintang dan tumbuhan asal sahaja, tiada sentuhan manusia yang berteknologi tinggi.
Robot Rozzum 7134 ini menjalankan tugasnya untuk menerima tugasan, namun tidak ‘jumpa’ tuan yang ‘sepatutnya’ memiliki atau menempahnya yang akan beri tugasan untuk dia laksanakan.
Sebagai robot AI, Rozzum 7134 yang pada mulanya ‘stuck’ dalam persekitaran yang tiada maklumat sedia ada diprogramkan dalam dirinya ini telah berjaya berevolusi mengikut persekitaran dan pengalaman barunya.
Ia mampu memahami bahasa haiwan dan beradaptasi, dan terus hidup di hutan belantara ini.
Robot ini bermisikan untuk membantu tugasan, dan menyelesaikan apa sahaja tugasan diberikan.
Tugasan ‘Ibu’
Ditakdirkan robot Rozzum 7134 (nama mesra pendek dia adalah Roz) ini telah bertemu dengan satu ‘masalah’.
Maka dia terus menjalankan tugas untuk menjaga sebiji telor angsa (teringat pula kisah anak angsa yang dibela oleh ibu ayam, sebab nanti akan muncul isu konflik identiti kepada anak angsa ini nanti).
Dia dibantu oleh ‘Fink’ si musang yang tiada kawan, dan kerjanya memang makan ayam dan telor seperti itu😅 .
Perjalanan filem ini berakhir dengan satu momen yang amat istimewa, dan berjaya menyentuh hati penonton walau orang dewasa mahupun anak kecil kita.
Di sini saya senaraikan ‘learning point’ dari sudut keibubapaan, iaitu dari skop yang saya suka nak fokuskan.
9 Perkara Kita Boleh Refleksi dan Pelajari dari Perspektif Keibubapaan
Perkara yang kita boleh pelajari, dari filem ini yang boleh dikaitkan dengan pelaksanaan tugas kita sebagai ibu bapa adalah seperti berikut:
1. Sedarkah kita, sebagai ibu bapa, kita ada misi dan perlukan sokongan.
Seperti Roz ini, ‘tugasan’ dari apa yang dia dapat dari Fink si musang (sebab si musang ni lebih arif, dengan kehidupan dan fitrah angsa itu), ada 3.
Ini menjadi fokus tugasan Roz.
Seterusnya 3 perkara ini merupakan misi atau target (objektif) si Roz untuk telor yang menetas dan telah menjadi anak angsa ini, iaitu;
i) memberi makan (untuk kelangsungan hidup),
ii) boleh berenang, dan
iii) boleh terbang (angsa ini mesti terbang pada musim tertentu seperti fitrah angsa-angsa yang akan terbang berkumpulan, macam berhijrah) ke kawasan lain, sebelum musim sejuk tiba.
Kita?
Apa tugasan kita sebagai ibu bapa?
Apa misi kita dalam membesarkan anak kita?
Kita pelihara mereka, mengasuh, mendidik dan memastikan mereka menjadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi seperti Mahunya Allah.
Ia jatuh kepada tanggungjawab dan hak anak (perlu dipenuhi ibu bapa), dan dan juga akan menjadi tugas dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa pula kelak.
Renung-renungkan sejenak.
Apakah misi besar dan misi kecil kita.
Dalam melaksanakan misi ini juga, jika sebagai ibu tunggal, kita perlukan sokongan dari individu yang boleh membantu kita.
Ia sama ada dari segi maklumat, sokongan emosi, dan sosial, agar kita terus kuat dalam melaksanakan misi kita.
Berkongsi dengan rakan dipercayai agar kita dapat komunikasi dan refleksi dua hala.
Luahkan juga kepada Tuhan agar kita lega dan beroleh ilham yang tepat dalam pelaksanaan misi tugas keibubapaan kita, ya.
2. Dari misi ini, perbuatlah dengan sungguh-sungguh tugas kita, tiada kompromi atau ‘half cook’ process
Kalau si Roz ini, contohnya nak beri makan anak angsa ini saja, telah pelbagai usaha yang dia cuba, dalam memperkenalkan makanan kepada si anak angsa.
Anak ini kemudiannya dinamakan sebagai Brightbill.
Dari proses usaha berterusan yang tidak mengenal erti lelah ini, akhirnya baru Roz nampak (tahu) yang anak angsa ini makan cacing. Hahahahah.
Kita?
Kita mungkin ada cabaran keibubapaan, sangat tinggi cabarannya, semenjak anak dalam kandungan dan bayi.
Dari cabaran ini sebenarnya kita akan lagi kenal anak kita, sensitiviti badan dia, kesukaan dia, dan pelbagai lagi.
Ia adalah cabaran normal akan dilalui oleh ibu bapa apabila memiliki anak.
Kita tidak terus tahu, atau terus pandai, sebab keperluan dan kondisi setiap anak berbeza.
Contohnya anak ini tidak mahu puting botol susu ini, tapi sesuai dengan puting botol susu itu.
Anak ini tidak mahu botol langsung, tapi hanya minum susu dari susu badan ibu sahaja.
Anak ini suka makan makanan tertentu dan menolak makanan tertentu lain.
Anak ini ada alergi dan ekzema, manakala anak ini boleh makan semua makanan.
Yang pastinya, misi kita beri makanan kepada mereka adalah agar mereka peroleh zat yang seimbang, untuk tumbesaran terbaik mereka, kan?
Short cut nya kalau kita dah tahu dari kajian sains yang bayi perlu susu ibu sahaja dari 0-6 bulan, maka kita ikut sahaja sebab ini membantu kita mengurangkan kesilapan dalam membesarkan anak mengikut keperluan asasinya.
Namun dalam aspek yang lain, memang terdapat kepelbagaian mengikut konteks yang berbeza-beza (faktor anak, faktor ibu ayah, dan faktor persekitaran).
3. Apabila tiba masa anak ke fasa seterusnya, kita perlu lepaskan anak untuk berada di satu persekitaran yang sesuai agar dia pelajari kemahiran tertentu untuk fasa perkembangannya. Mereka tidak lagi berada dalam kepompong kita sahaja selamanya.
Apabila si anak ini, Brightbill sudah besar sedikit, maka Roz pun perlu berikan persekitaran yang menyokong kepada kemahiran baru dia perlu ada, iaitu kemahiran berenang.
Roz cuba ajarkan si anak ini berenang, namun dengan cara Roz, yang mana kurang sesuai kerana Roz robot, anak ini perlu belajar dari lingkungan dia.
Ini agar dia benar-benar dapat capai kemahiran yang dia perlukan dalam hidupnya dengan kaedah yang paling tepat dan terbaik.
Maka Roz pun berikan peluang kepada Brightbill untuk berada dalam lingkungan angsa-angsa lain yang sedang berlatih berenang di air.
Ia tidak mudah kerana sewaktu Brightbill masuk ke lingkungan angsa-angsa ini, cabaran sosial telah masuk dan mengganggu proses pembelajaran. Ini biasa, bukan ?
Kita?
Kita ajar anak di rumah, sejak bayi bagi kemahiran tertentu, seperti makan, bermain, mandi, gosok gigi.
Kemudiannya kita akan ‘transfer’ atau pindahkan anak ke sistem persekolahan, dari tadika hinggalah ke uni kan. Di sinilah anak akan terdedah kepada pelbagai pengaruh nanti.
Kita tidak mampu ‘ikat’ dia selamanya kerana kapasiti dan skop kita terhad.
Namun ada ibu bapa yang mampu untuk ‘homeschooling’ anak, sehingga usia 18 tahun, dan mereka ada tatacara sendiri untuk berikan anak suasana, dan pendedahan kemahiran sosial komuniti.
Ia tidak ada salah atau betul, asalkan kita mengikut matlamat dasar kita serta kemampuan ibu ayah itu sendiri.
Asalkan kita tahu dan sedar, serta terbuka yang anak ini tetap perlu didedahkan ke dalam lingkungan komuniti bagi kemahiran tertentu apabila tiba masanya (kita pilih suasana itu).
Apabila tiba masanya nanti, ia memang akan berlaku secara semulajadi, dan berperingkat.
Kita ada naluri (instict) setakat mana kita boleh pergi (dalam mengajar anak).
Anak akan lebih cepat belajar dari lingkungan bersesuaian (teori pembelajaran sosial) dan dengan guru yang paling sesuai (mengikut personaliti anak dan kaedah guru).
4. Apabila kita ‘stuck’, kita cari ‘coach’ yang tepat untuk capai target yang kita dan anak perlu capai
Apabila sampai ke misi seterusnya, iaitu kemahiran lain pula yang mana si Brightbill sudah boleh berenang, Roz memulakan latihan terbang pula untuk Brightbill.
Ia berlaku secara berperingkat mengikut target perkembangan dan pencapaian Brightbill.
Pada awalnya Roz cuba jadikan dirinya sebagai ‘coach’ itu, dan tunjukkan video secara teknikal bagaimana seekor angsa berenang.
Disebabkan Roz robot Ai, jadi dia ada maklumat yang banyak, secara teori dan tontonan sahaja (Roz pancarkan video).
Akhirnya Roz berfikir, bahawa anak ini perlukan satu ‘coach’ lain yang benar-benar bersesuaian iaitu seseorang yang memang boleh terbang dengan baik.
Memandangkan komuniti angsa lain menolak Brightbill yang dikatakan pelik sebab dibela oleh robot yang besar dan tinggi (mereka panggil Roz ‘raksasa’), maka Roz pun mencari dan mendapatkan satu burung lain yang tiada kena mengena dengan komuniti angsa, untuk mengajarkan si anak ini terbang.
Alhamdulilah berjaya.
Walaupun begitu, Roz bukanlah tengok sahaja, dia tetap terlibat untuk latihan terbang ini secara belakang tabir engan menyediakan fasiliti bersesuaian agar anak ini berlatih terbang dengan sebaik mungkin.
Konsekuensnya jika anak ini tidak pandai terbang sebelum musim ‘migrate’ tiba, ia seakan kegagalan lah dalam misinya. Sebab itu Roz bersungguh-sungguh dalam membantu Brightbill terbang (balik kepada misi dan impian bila kita ‘stuck’).
Kita?
Apabila kita dah latih anak dengan satu-satu kemahiran yang kita mampu ajar, dan hantar ke sekolah atau pusat tertentu, ada waktunya kita perlu mencari ‘coach’ atau guru lain yang bersesuaian dengan keperluan anak agar dia mampu mencapai misi tertsebut.
Contohnya akademik untuk subjek tertentu (contoh kelas one on one Matematik), misi hafaz seluruh Quran, atau ‘coach’ bagi pertandingan tertentu, demi memastikan anak ini tercapai misinya.
Kita juga tidak biarkan sahaja ‘coach’ ini latih anak, kita bantu menyediakan suasana, prasarana, kemudahan lain seperti sorakan, menghantar ke kelas, membeli bahan keperluan tertentu dan juga doa untuk anak kita, kan?
5. Apabila kita selesai satu-satu target, adakah kita berhenti menjalankan tugas keibubapaan kita? Pastinya tidak. Tugas kita akan berevolusi kerana ia satu tanggungjawab dan pertalian sepanjang hayat! Itulah yang disebut sebagai dinamik perhubungan.
Roz apabila sudah capai 3 target tadi, dia rasan dia perlu pulang ke tempat asalnya.
Sebagai robot yang tersesat, dia perlu dibaiki dan pulang ke HQ (ada satu button di kepala yang dia perlu tekan untuk beri signal ke HQ agar mengambilnya pulang).
Disebabkan ada sesuatu yang tidak lepas dari dalam hatinya, apabila dia mendapat tahu dari Fink yang Brightbill ingin nyatakan sesuatu kepadanya, Roz tidak jadi untuk meneruskan perjalanan ke tempat asalnya.
Naluri perhubungan ibu-anak dan kasih sayang itu amat kuat sebenarnya, dan timbal balik. Roz nak nyatakan dia sayang Brightbill dan Brightbill juga nak nyatakan bahawa dia sayang Roz.
Dia berupaya menggunakan ‘helah’ atau beri alasan kepada robot yang nak bawa dia ke pusat (kerana mahu mengkaji sistem operasi uniknya) dan terus mendapatkan anaknya si Brightbill.
Seorang ibu ni, kalau dah kuat sangat hatinya memikirkan anaknya, dia akan sanggup perbuat apa saja, kan? Misi selesai itu sebenarnya akan belum selesai, selagi kita masih hidup.
Kita?
Sama juga kita, sebagai ibu ayah, ada kuasa yang menghubungkan kita dengan anak kita.
Bukan sahaja sebab anak ini dari asal benih kita, tapi juga kerana hati yang ikhlas menyayangi. Pertalian yang tiada dapat ganti atau sangkal.
Ada sahaja ibu yang tidak melahirkan, hanya membela, tapi kerana ikhlas dalam mencurahkan kasih sayang itu, banyak pengorbanan dilakukan, dan ‘bonding’ sangat kuat, ini akan menghubungkan kedua ibu bapa-anak, jauh lebih bermaknda dari peranan benih ibu bapa sahaja.
Percayalah (terutama kepada sahabat ibu bapa di luar sana yang merupakan ibu bapa angkat kepada sang anak).
Pengorbanan kita meredah pelbagai ujian dan cabaran semuanya kerana kasih sayang, dan hati yang kuat menyayangi. Ia pastinya datang dari Allah jua yang menerbitkan rasa itu.
Proses membesarkan anak itu, pada setiap detik, saat, membawa makna besar kepada proses pembentukan perhubungan yang berkualiti.
Bagaimanakah kita sehari-hari melalui momen indah dengan anak kita?
Roz ini sangat lembut, rasional, objektif dan respon kepada emosi anak angkatnya ini. Untuk ini, poin berikutnya akan berkesinambungan dari ini.
Misi kita akan berterusan hingga ke akhir hayat kita.
Walau anak sudah dewasa dan beranak, kita tetap berperanan menjadi tempat rujukan dan sandaran kepada anak apabila mereka memerlukan nasihat dan pandangan kita nanti, kan.
6. Sokong dan respon emosi besar anak dengan tenang dan berhikmah
Apabila Brightbill berada di lingkungan itik angsa (goose) lain-lain sewaktu berlatih untuk berenang, dia mengetahui sesuatu maklumat yang melukakan hatinya.
Dia diberitahu yang Roz inilah yang ‘membunuh’ ibu kandungnya.
Proses sewaktu menghadapi penolakan, kemarahan, kekecewaan dan ‘tidak percaya’ anak ini kepada ibunya, dihadapi dengan sangat baik, tenang dan matang oleh Roz.
Kemudiannya Brightbill juga mendapat tahu dari Roz dan Fink sebagai saksi kepada momen telor diambil oleh Roz, bahawa momen itu adalah satu kemalangan yang bukan disengajakan.
Malahan dari sini, takdir pertemuan dan ikatan antara Roz dan Brightbill ini adalah satu kesyukuran, bukan satu kesilapan, dan kesedaran ini diperolehi lewat cerita oleh Brightbill sewaktu di hujung cerita setelah dia semakin matang dan besar.
Kita?
Kita boleh belajar dari Roz, ciri-ciri bagaimana seorang ibu bapa yang menghadapi kerenah anak nak masuk remaja yang memberontak, menyalahkan kita, dan mungkin marah kepada kita kerana perkara tertentu.
Kadangkala ia melibatkan rahsia besar, seperti merek anak angkat, atau mereka tidak diingini sewaktu ibu mula mengandungkannya (unwanted child).
Hadapilah apa jua momen cabaran ini sebaiknya, tenang, rasional, matang seperti usia kita, dan ingatlah mereka terkejut kerana mendapat maklumat dari orang lain. Maka bukanlah salah mereka sepenuhnya.
Beritahu kebenaran, dan orang tua lain dalam hidup anak, seperti makcik pakcik, atuk nenek boleh bantu berikan maklumat sebenar kepada anak.
Katakan ibu ini pada mulanya tidak sedia dan tidak mahu anak ini.
Namun jelaskankan kepada mereka bahawa di sepanjang proses perjalanan anda membesarkan mereka, apa yang buatkan anda kuat untuk terus cekal membesarkan mereka, tidak buang mereka dan tinggalkan mereka (surrender), adalah kerana anda sayang mereka dari tulus hati anda.
Mereka akan nilai sendiri kerana momen momen dalam kehidupan itu amat panjang tidak terkira.
‘Rasa’ dan tindakan nyata sebagai bukti itu adalah mahal dan ia membentuk satu tali perhubungan yang utuh, dan tidak dapat disangkal lagi.
7. Air dicincang tidak akan putus, takdir menetapkan ibu bapa dan anak itu adalah satu kejadian yang terbaik yang Tuhan telah aturkan.
Segala kesukaran dan pengorbanan Roz ini membawa hasil besar di kemudian hari.
Sewaktu momen tegang yang berlaku di pusat Robot Rozzuma lain ini, angsa-angsa ini ini diminta oleh ketua delegasi penerbangan mereka untuk terus dipimpin oleh Brightbill hingga tamat perjalanan.
Ini kerana pengalaman unik Brightbill yang dibesarkan oleh Roz ini membuatkan dia tidak cemas sewaktu berhadapan dengan angkatan Robot yang sama jenis dengan Roz.
Maka kelebihan ini membuatkan Brightbill mampu memimpin hingga ke akhir, dan pasukannya kembali ke tempat asal mereka setelah musim sejuk tamat.
Kita ?
Sabar. Apabila anak kita sewaktu remaja atau awal remajanya memberontak dan mempersoalkan peranan kita, ketegasan dari prinsip kita dan sebagainya, teruskan bersabar dan percaya bahawa Allah sudah berikan set ujian yang bersesuaian dan tepat untuk kita dan anak kita ini.
Suatu hari nanti anak akan sedar dan tidak lagi menyalahkan kita, malahan dia akan kata dia bersyukur dengan pengalaman kehidupannya bersama kita.
Walau susah atau senang, kurang atau lebih, semuanya akan dipandang dengan penuh kebaikan, percayalah.
Contohnya anak yang mempersoalkan kenapa dia hidup susah, atau dia tiada ayah seperti orang lain, di kemudian hari nanti dia akan sedar, kesemua pengalaman itulah yang telah membentuk jati dirinya dan keunikan personaliti dirinya, yang tidak ada pada insan lain, insyaAllah.
Tiada ada kebetulan dalam perancangan Allah, yang sentiasa terbaik buat kita.
8. Peranan komuniti, yang kita lakukan akan menerbitkan satu kuasa sokongan yang luar biasa.
Roz tidak diterima oleh komuniti hutan ini, dan dia hanya memfokus kepada tugasan (3 misi) untuk anak angsa ini.
Ditakdirkan pada waktu komuniti memerlukan bantuan, pada musim ribut salji, Roz telah bertungkus lumus membantu menyelamatkan mereka semua dan menempatkan mereka di satu tempat yang selamat.
Ini mungkin kerana dia tiada pengalaman lampau dan dia adalah robot yang fokus, hati bersih, baik, dan berjiwa besar.
Hasilnya sewaktu momen tegang sewaktu robot HQ nmahu mengambil Roz dan Roz mahu berpatah kembali untuk berjumpa dengan Brightbill, komunitinya telah bersatu hati membantu dalam pertarungan itu.
Kita?
Dalam komuniti keluarga luas, keluarga kejiranan dan lingkungan sosial, kita perlu perbuat kebaikan berterusan dan penuh kasih sayang tanpa mengharap balasan.
Biar orang tak suka, kita tetap balas dengan senyuman, atau biar kita tak suka, kita tetap senyum dan melayani mereka dengan baik.
Ia boleh saja terjadi dalam komuniti adik beradik kita dan anak-anak mereka, komuniti anak jiran, dan kanak-kanak lain yang kita hadapi sehari-hari.
Lepaskan (atau serahkan) kepada Tuhan yang lebih tahu dan adil dalam menilai, peranan kita adalah terus berbuat baik tanpa syarat.
Saya terkenang sifat Rasulullah yang baik. Walau orang baling najis pun, Baginda tidak membalas dengan najis semula atau balasan yang lebih teruk dari itu.
Baginda tetap sabar, senyum dan doakan yang baik-baik sahaja, malah terdapat riwayat yang Baginda memberi balas dengan siri kebaikan tiada bersyarat.
Mari kita berselawat ke atas Nabi selalu, dalam mengingati serta mengamalkan apa yang Baginda perbuat.
9. Break the Cycle, nilai apa yang kita nak tinggalkan untuk anak cucu kita sebagai legasi?
Sewaktu Roz sudah pun kembali ke HQ nya, komuniti hutan belantara ini hidup dalam aman sentosa.
Mereka tidak lagi bergaduh sesama sendiri.
Ada satu momen yang mana Fink membacakan storytelling kepada anak-anak kecil binatang iaitu kisah Robot bernama Roz yang turun ke satu hutan dan melakukan siri kebaikan yang diingati sepanjang zaman.
Ia menjadi satu cerita lagenda yang selamanya dikenang dan dihargai oleh komuniti binatang ini.
Kita?
Seandainya kita melalui fasa kehidupan yang tidak enak, tidak perlulah kita wariskan kepada anak kita juga.
Contoh dibesarkan dengan siri fitnah, mengata belakang, kasar, pukul dan sebagainya.
Sucikan hati kita, mulakan tindakan yang baik, kerana harimau mati meninggalkan belang, dan manusia mati meninggalkan nama.
Saya teringat kenalan saya menceritakan mengenai ibunya yang hidup susah dan sangat sabar, membesarkan mereka adik beradik. Betapa di pengakhiran hidup ibu tuanya ini amatlah indah, dikelilingi oleh anak cucu dan generasi keturunan yang mengenang kesusahan, kebaikan, dan pengorbanan yang dilakukan ibu atau nenek ini untuk diceritakan kepada keturunannya.
Hanya gambar dan cerita ahaja yang ada sebagai kenangan untuk dikisahkan.
Kisah yang baik juga boleh kita ambil dari sirah para Nabi dan dari situlah menunjukkan bagaimana setiap Nabi itu melawan kebatilan dengan kebenaran melalui tindakan yang sabar, teguh dan berhikmah.
Apakah yang kita mahu tinggalkan atau wariskan kepada anak cucu kita?
..
Dari ulasan filem ini, saya amat menyarankan untuk kita bersama membawa anak-anak dan sekeluarga ke filem ini dan bincang bersama anak-anak apa yang mereka perolehi atau pelajari.
Semoga apa yang baik dapat diambil untuk dijadikan sebagai panduan, dan yang tidak baik itu kita jadikan sempadan. Sama-sama kita berusaha ke arah kebaikan setiap hari, detik masa yang kita masih ada.
Selamat menonton semua!
Salam kasih sayang,
Maznah Ibrahim
15 September 2024