Kenali Gejala Anak Hadapi Tekanan
Kanak-kanak sebenarnya tidah mudah menyatakan atau meluahkan tekanan dengan cara yang sama seperti orang dewasa.
Malahan orang dewasa juga ada kesukaran menyedari dan memberitahu bahawa dia dalam tekanan, dan akan menunjukkan petanda melaui beberapa cara. Tidak semua orang mampu meluah atau memberitahu.
Adalah penting untuk kita memberi perhatian kepada tanda atau gejala ini yang berkemungkinan berkaitan dengan tekanan yang mereka alami.
Berikut adalah beberapa petunjuk yang berpotensi memberitahu kita ibu ayah bahawa anak-anak kita mungkin mengalami tekanan:
1. Perubahan Tingkah Laku:
Tingkah laku adalah sesuatu yang mudah kita perhatikan atau nampak jelas yang memberitahu kita bahawa anak kita mungkin mengalami tekanan.
Contohnya terdapat perubahan dalam corak tidur anak, seperti sukar untuk tidur, mimpi buruk, atau kerap terjaga pada waktu malam.
Selain itu perubahan dalam tabiat pemakanan, seperti hilang selera makan atau makan berlebihan.
Perubahan seterusnya adalah kemerosotan dalam tingkah laku yang dipanggil regresi, iaitu anak berbalik kepada tingkah laku biasa pada usia yang lebih muda, seperti menghisap ibu jari, kencing malam, tidak mahu bersendirian tanpa ditemani individu dewasa yang mereka percayai dan lain-lain lagi.
2. Perubahan Emosi:
Kita juga dapat perhatikan terdapat perubahan ‘mood’ yang mendadak tanpa sebab yang jelas, yang tidak dapat difahami dan luar dari kebiasaan.
Contohnya anak lebih sensitif, mudah marah, kecewa dan takut.
3. Perubahan Prestasi akademik:
Selain itu, anak juga menunjukkan penurunan prestasi sekolah yang ketara.
Ini menunjukkan mereka tidak dapat memberi fokus kepada tanggungjawab akademiknya kerana faktor gangguan dalam dirinya sama ada dari segi emosi atau pemikiran. Gred atau prestasi akademik menurun secara mendadak.
Mereka sukar menumpukan perhatian dan menghadapi cabaran dalam memberi tumpuan kepada tugasan atau menyelesaikan tugasan sekolah mereka.
4. Perubahan Sosial:
Terdapat juga petanda anak hadapi tekanan, dari sudut aspek perubahan sosial. Anak mengasingkan diri dengan mengelak dari kawan atau situasi sosialnya, menghabiskan lebih banyak masa bersendirian, atau menjadi pendiam yang luar biasa.
Selain itu, terdapat juga petanda konflik dalam lingkungan kehidupannya iaitu hubungan yang tidak baik (bergaduh) dengan rakan sebaya atau ahli keluarganya.
5. Menyatakan Kebimbangan:
Seterusnya apabila anak mampu menyatakan kebimbangannya sendiri, ini adalah petanda yang amat baik.
Mereka menyatakan secara langsung kebimbangan tentang situasi tertentu, seperti sekolah, persahabatan atau hal keluarga. Ada juga anak yang meminta untuk berjumpa dengan doktor bagi isu kesihatan mental mereka, dan terbukalah ibu ayah untuk berjumpa ahli profesional ini.
Maka respon atau maklum balas ibu ayah ketika ini amat penting dalam membantu anak mengatasi kebimbangannya. Saya pernah menulis beberapa artikel saya berkenaan anak bimbang (seawal usia 4 tahun konflik rakan (a) dan tanda depres (b)) dan bagaimana kami memberi respon kepada situasi sebegitu.
6. Perubahan dalam Bermain:
Aspek seterusnya yang boleh dilihat adalah dari corak permainan anak yang berubah.
Terdapat perubahan dalam cara kanak-kanak bermain, seperti menjadi lebih agresif atau terlibat dalam permainan bersendirian apabila mereka dalam situasi yang perlu bersosial tetapi tidak berlaku.
7. Tanda-tanda berkaitan sekolah:
Seterusnya adalah dari sudut tingkah laku dan sikap terhadap sekolah.
Terdapat ramai kanak-kanak menolak untuk pergi ke sekolah (school refusal), dan ini merupakan petanda jelas bahawa mereka sedang hadapi cabaran dalam kehidupan persekolahan mereka.
Mereka menyatakan keinginan untuk tidak pergi ke sekolah atau mengambil bahagian dalam satu-satu aktiviti.
Pastinya ada sebab tertentu yang menunjukkan bahawa mereka sebenarnya kurang selesa, tidak gembira dan bimbang berkaitan sesuatu di sekolah, seperti tidak siap kerja sekolah, hilang buku, dimarah guru, konflik dengan rakan sebaya yang rapat, dibuli atau isu berkaitan dengan guru mereka.
Selain itu terdapat juga anak yang jenis perfeksionis yang mana mereka sendiri memberi tekanan yang berlebihan kepada diri sendiri untuk cemerlang dalam akademik atau aktiviti tertentu.
Ini boleh dikatakan mungkin berkait dengan input yang diterima dari awal kehidupan mereka oleh orang dewasa, atau mungkin juga ia berkait dengan trait personaliti mereka yang mungkin otak dominan gaya atas, mementingkan pencapaian dan meletakkan ekspektasi tinggi dalam satu-satu perkara yang dilakukan.
8. Gejala Fizikal:
Gejala fizikal ini ada kaitan dengan psikosomatik, seperti anak mengadu sakit kepala atau perut, dan kerap mengadu ketidakselesaan fizikal tanpa sebab perubatan yang jelas. Ia dipanggil sebagai ‘unexplained medical symptoms’. Petanda psikosomatik juga termasuklah muntah, loya, pening dan sakit abdomen badan. Selain itu ada juga kanak-kanak yang alami kejang dan seizure subklinikal kerana tekanan yang melampau.
Berkaitan dengan ini, ada juga anak yang menunjukkan gejala keletihan luar biasa yang tidak dapat dijelaskan atau tidak bersemangat atau bermaya. Tenaganya seperti amat kurang.
Ada juga anak yang menunjukkan perubahan berat badan sama ada kehilangan atau kenaikan berat badan yang ketara. Ada klien saya yang menurun berat badan secara mendadak semenjak kematian adik dikasihi dan ini tidak dapat dijelaskan dengan baik pada peringkat awal. Ia adalah ‘grief’ iaitu satu keadaan yang mana individu berasa sedih, duka dan pilu yang amat mendalam kerana kehilangan individu rapat dalam kehidupannya.
Apa Kita Perlu Buat?
Adalah penting untuk kita sebagai ibu ayah mengambil perhatian bahawa tanda-tanda ini boleh berbeza-beza di kalangan kanak-kanak, dan sesetengah kanak-kanak mungkin tidak menyampaikan tekanan mereka secara terbuka.
Jika ibu ayah melihat perubahan berterusan dalam tingkah laku atau gejala ini, adalah dinasihatkan untuk ibu ayah:-
- mendekati anak-anak ini
- tunjukkan perhatian lebih kepada gejala ditunjukkan,
- adakan satu sesi khas berkomunikasi dengan anak ini,
- sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran yang menyokong kepada minat dan kebolehan mereka (stress outlet anak), dan
- pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional jika perlu.
Selain itu, kekalkan komunikasi terbuka dengan guru dan penjaga lain juga boleh dilakukan kerana mereka boleh memberikan pandangan berharga tentang pengalaman anak-anak yang hampir sama dengan isu dan solusi tindakan yang pernah dilaksanakan.
Elakkan tidak mengambil tahu atau mengambil berat petanda ini dan membiarkan ia berlarutan.
Ini kerana cegah sebelum parah adalah amat penting bagi apa jua isu berkaitan cabaran kehidupan manusia. Tentunya kita mahu membantu mereka pada peringkat awal, agar lebih mudah untuk anak dan diri kita juga nanti.
Cegah Lebih Baik Dari Mengubati
Anak yang hadapi tekanan, memerlukan sokongan emosi dan ibu ayah yang responsif.
Amat malang sekiranya kita mengabaikan tanda-tanda ini secara berterusan, malah sehingga bertahun-tahun diabaikan, perkara seperti berikut boleh berlaku dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas juga:
1.Berjaya akademik, tetapi emosi tidak stabil, beri kesan kepada pekerjaan dan keluarga sendiri.
2.Menjadi school refusal sehingga pelajaran tertinggal dan masa depan turut terjejas kerana ilmu tangga kejayaan.
3.Bermasalah dalam perhubungan akibat emosi marah meletus, marah terpendam, depresi, impulsif dalam tingkah laku dan klimaksnya kepada kesihatan fizikal dan penyakit mental (kesan dewasa dari pengalaman ACEs).
4.Menjadi warga emas yang kesal dan bersalah, dan perlu menghadap sikap anak yang mengabaikan dan menyalahkan diri kita pula.
Apabila perkara ini dikesan awal, dan ibu ayah boleh menjadi pembimbing emosi di kala mereka ‘stuck’, kita memberi jalan keluar yang baik untuk mereka. Dan inilah sebenarnya momen yang membantu mereka untuk terus mengembangkan potensi mereka selanjutnya.
Maka mereka tidak terperangkap dalam loop yang sama, terlalu lama.
Mereka tidak terbantut kerana isu kecil (tetapi penting) ini, dan terhalang capaian potensi mereka, kerana ibu ayah ibarat kunci kepada potensi besar kehidupan mereka.
Turning Point
Beberapa minit kita membantu mereka sewaktu kecil dan sewaktu mereka amat memerlukan kita, kita mencegah kesan dalam berpuluh tahun kesengsaraan mereka dan kesusahan kita menanggung rasa bersalah ini apabila kita tua nanti – inilah turning point yang sangat berbaloi & paling penting jika ibu ayah mengetahuinya.
Semoga dengan pengalaman dan skil yang kita berikan kepada mereka ini, mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran-cabaran baru dan lebih besar yang bakal mereka hadapi sepanjang hidup hingga akhir hayat.
Bantu Mereka – Webinar Terbaru: Emosi Besar Mereka
Menyedari keperluan ini adalah penting untuk ibu ayah mempunyai set skil dan ilmu yang sesuai supaya boleh memberi sokongan yang baik kepada emosi anak-anak sewaktu mereka amat memerlukan (momen sukar).
Saya telah menganjurkan satu webinar terbaru berkaitan ini, bertajuk:
Webinar ‘Emosi Besar Mereka’ yang akan saya adakan secara atas talian.
Antara topik-topik yang saya akan kongsikan adalah:
- Bagaimana emosi positif atau negatif boleh trigger dalam situasi harian anak-anak.
- Bagaimana memahami punca tingkahlaku mencabar anak dengan lebih mendalam menggunakan model Iceberg.
- Case study dan contoh-contoh solusi praktikal yang ibu ayah boleh lakukan sendiri.
Berminat? anda boleh daftar di sini:
KLIK>> Dapatkan Webinar Emosi Besar Mereka.
Semoga semua anak kita memperoleh kebaikan dalam ‘timeline’ kehidupan mereka apabila kita mampu memberi respon sebaiknya kepada mereka pada waktu sukar mereka.
Dengan membantu mereka, sebenarnya anda juga membantu diri anda sendiri.