Apa Itu Self Esteem
‘Self esteem’ atau estim diri ialah perasaan terhadap diri sendiri berkaitan dengan keyakinan diri tentang nilai dan keupayaan diri seseorang individu.
Apabila anak rendah ‘self esteem’, anak sebenarnya sukar nak ‘apply’ apa-apa skil pertahanan diri yang kita beri kepada mereka seperti skil pertahanan diri fizikal (taekwando, silat) mahupun skil pertahanan peribadi seperti ‘Personal Safety’ (Keselamatan Peribadi untuk pencegahan buli dan penderaan seperti seksual).
Saya teringat program ‘Personal Safety’ untuk pencegahan penderaan seksual yang kami laksanakan di satu pusat kanak-kanak di jalanan ini tidak cukup mampu membantu anak-anak ini daripada menjadi mangsa eksploitasi seksual kerana aspek ‘self esteem’ yang memerlukan masa yang panjang dibentuk ini tidak dapat kami beri dalam masa singkat walau sepanjang 8-10 sesi.
Maka peranan ibu ayah dan penjaga utama kanak-kanak dalam skala kecillah yang boleh membantu pembentukan ‘self esteem’ ini.
Mari kita fahami sebab self esteem umpama perisai kepada keselamatan peribadi anak-anak kita melalui 3 komponen berikut :
1.Anak Cukup Kenal Diri dan Tahu Nilai Diri Tinggi
Apabila anak menghadapi buli siber atau tekanan di media sosial, secara online seperti komen negatif, gelaran dan sebagainya, anak yang yakin diri dengan nilai dan keupayaan diri ini akan tidak terjejas kerana mereka cukup tahu dan cukup kenal dengan apa yang mereka tahu mengenai satu-satu info, atau diri sendiri.
Contohnya apabila kawan mengatakan “alah ko tu cakap aja pandai, tapi sendiri pun macam hampeh”.
Anak yang cukup kenal diri dan keupayaan dirinya, tahu yang dirinya telah perbuat apa sehingga tahap mana, maka tidak akan tergugat dengan kata-kata buli atau nista orang lain.
Inner talk (percakapan dalam dirinya) adalah positif dan boleh melindungi emosi dirinya daripada tercedera oleh faktor luaran.

2. Anak Cukup Berani Pertahan Diri Secara Berhikmah
Apabila anak dibuli atau diperlaku sesuatu yang tidak selamat, anak akan berusaha pertahankan diri kerana tahu dirinya telah disalahlakukan.
Inner talk yang positif akan menghasilkan tindakan yang betul dan positif.
Ia perlu dibimbing dari semasa ke semasa sehingga dewasa kerana anak kecil yang kawalan emosi masih rendah akan cenderung untuk bereaksi secara fizikal dan verbal (agresif atau pasif). Manakala orang dewasa yang cukup pengalaman akan cenderung untuk lebih sabar dan berhikmah dalam tindakan balasnya (namun sangat ramai sebenarnya orang dewasa yang bertindak seperti keanak-anakan dan inilah sebab sebenar kanak-kanak kita turut sedemikian – faktor modelling).
3. Anak Hormati Dirinya Sendiri (Self Pride)
Anak yang self esteem diri tinggi sangat menghormati maruah diri dan mempunyai ayat-ayat dalam pemikirannya serta emosinya yang maruah dirinya perlu dipelihara.
Sekiranya dia ada didera, diperlaku atau dieksploitasi secara seksual, dan oleh kerana maruah dirinya adalah penting, dia akan berusaha untuk mendapatkan bantuan sehingga mampu menyelamatkan dirinya berbanding anak yang self esteem rendah yang merasakan diri tiada nilai dan biarlah apa nak jadi seterusnya. Pasrah sahaja.
Skil Pengurusan Emosi Anak
Dalam pada itu, skil pengurusan emosi adalah turut terlibat dalam pelaksanaan self esteem seseorang anak.
Anak perlu ketahui cara untuk mengawal emosi semasa dirasai dan bertindak secara komunikasi terbuka agar dia memperoleh win win situation dengan si pembuli atau si pelaku.
Faktor Personaliti
- Reaksi apabila dibuli atau diperlaku adalah bergantung kepada personaliti dan karektor seseorang individu. Namun secara asasnya, inner talk yang baik dan positif akan menghasilkan pembuatan keputusan yang betul dan tindakan yang betul hasil dari self esteem yang tinggi.
Bimbingan Berterusan
Anak perlu dibimbing dari semasa ke semasa sebaik mula memasuki kontak sosial seperti seawal usia 3 tahun di taska atau prasekolah.
Sebaiknya usia 4, anak mula dilatih untuk komunikasi tegas diri selain reaksi spontan membalas semula tindakan fizikal kawan kepadanya.
Situasi semasa ke semasa yang dialami, diceritakan si anak amat penting untuk kita sebagai ibubapa pick up the stories dan membimbing mereka untuk pembentukan karektor juga.
Semakin lama, apabila berulang cara gaya tindak kepada satu-satu keadaan buli, anak semakin kuat dalam karektor berhikmahnya kerana pengulangan tindakan akan mengukuhkan personaliti seseorang individu.
Sekitar usia 7-8 tahun anda akan mula nampak hasil kepada pembentukan gaya tindak positif kepada situasi buli ini kepada anak.
Cabaran paling besar adalah apabila anak perlu berdikari tanpa kita sama ada di sekolah asrama mahupun luar lingkungan kita kelak.
Maka sentiasalah mendengari apa jua cerita anak semasa tempoh usia emas ini (2-6 tahun) agar tidak terlepas untuk membantu membimbing karektor mereka sekecil isu kawan mengambil pemadam/pensel atau menepuk badannya dengan kuat.
seterusnya bantu kukuhkan tindakan benar sewaktu usia 7-12 tahun. Dan sewaktu kita melepaskan mereka ke asrama jauh, mereka diandaikan sudah cukup pengalaman untuk inner talk positif dan tindakan berasaskan benar dapat dilaksanakan.
Ajari anak skil cegah buli seperti komunikasi asertif dari awal kerana inilah yang akan membentuk personaliti, karektor dan gaya tindaknya kelak pabila kita tidak lagi berada bersama mereka kelak.
Saya melihat Self Esteem adalah faktor pelindung utama dalam memelihara keselamatan peribadi anak kita di mana jua mereka berada sedari kecil hinggalah dewasa.
Maznah ibrahim
7 Januari 2020
Artikel Berkaitan : 3 Kunci Asas Pupuk Self Esteem Anak