Kadang kita buntu nak tanya soalan apa lagi selain “Apa Kakak / Abang belajar kat sekolah hari ini?
Anak pula biasanya tak dapat jawab dengan baik soalan lazim kita tu heheh.
Saya juga alami masa anak sulong pertama kali masuk sistem persekolahan, masa dia usia 4 tahun dan sekolahnya jenis 8 pagi sampai 5 petang.
Masa tu saya ingatkan eh dia tak belajar apa-apa ke? Eh dia tak ingat ke? Ini penulisan lama saya yang tulus mulus sebagai ibu muda yang tiada pengalaman. Klik sini.
Sebenarnya kita tak perlu tanya apa dia ‘belajar’ sebab hakikatnya dia ‘confirm’ belajar sesuatu. Itu konsep intervensi dalam entropy.
Dan belajar dia tu kita tak perlu fikir atau check apa yang dia ‘belajar’ formal macam abc, surah atau nombor 1 2 3 tu, tetapi kita perlu percaya yang dia sebenarnya belajar banyak sangat kat sekolah, termasuklah cara kendali kawan yang kacau dia (atau dialah yang buli kawan dia), dan semudah menge gam dan menggunting semua tu (kemahiran motor halus).
5 Sebab Kenapa Kita Perlu Tanya Soalan Kat Anak Lepas Balik Sekolah
- Untuk cipta suasana borak dan tahu apa dia alami di sekolah hari ini
- Untuk bina atau kekalkan bonding dan kerapatan berterusan bagi anak dah mula masuk prasekolah
- Untuk tahu apa kesukaran anak yang dihadapinya di sekolah hari itu dan seterusnya bolehlah kita bantu anak segera (tidak tunggu sampai meletus tetiba mati-mati taknak pergi sekolah)
- Untuk perkenalkan anak kepada sistem sokongan sentiasa ada untuknya iaitu – bagitahu guru, bagitau kawan besar (senior), bagitahu ibu ayah, doa kepada Allah
- Untuk perkenalkan kepada anak kemahiran sosial baru yang relevan digunakan pada masa itu seperti skil katakan tidak (cegah buli), skil memulakan perbualan kawan baru, skil meminta pertolongan dengan guru, skil meminta izin pinjam barang dari kawan, skil meminta ke tandas dll
Di sini saya senaraikan 30 Soalan pilihan yang anda boleh tanya kepada anak-anak selain soalan lazim tadi tu.
Kategori biasa (tapi tetap power):
- Apa adik makan hari ini?
- Apa adik buat masa waktu rehat?
- Apa yang mencabar / susah hari ini?
- Ada mana-mana kawan adik yang tidak hadir ke sekolah hari ini?
- Buku apa yang adik baca hari ini?
- Dengan siapa adik main hari ini masa ‘waktu rehat’?
- Siapa yang adik duduk di sebelah dalam kelas atau pada waktu rehat?
- Adik nyanyi lagu apa hari ini?
Kategori Emosi (penting untuk tahu emosi ‘state’ dia hari ini dan suasana di sekolah itu)
- Ada sesiapa yang buat adik rasa marah hari ini?
- Ada sesiapa yang menangis hari ini?
- Ada apa-apa yang buat adik rasa takut hari ini?
- Siapa yang buat adik senyum hari ini?
- Apa yang buat adik paling seronok hari ni kat sekolah?
- Ada apa-apa yang buat adik rasa sedih hari ini?
- Adik ada pujuk kawan yang menangis hari ini?
- Ada apa-apa yang buat adik rasa kasihan hari ini kat sekolah?
Kategori sesuatu menarik
- Apa subjek kegemaran adik hari ini?
- Ada sesiapa yang tercedera hari ini?
- Ada orang buat sesuatu yang kelakar hari ini?
- Ada mana-mana kawan adik yang buat sesuatu yang bagus hari ini?
- Apa fakta baru atau perkara baru yang adik belajar hari ini?
- Apa yang adik buat hari ini yang kreatif?
Kategori soalan cepumas:
- Siapa yang adik nak buat kawan hari ini tapi belum jadi kawan lagi?
- Siapa yang bawa bekalan makanan yang nampak paling sedap/best hari ini? Makanan apa tu?
- Jika seorang dari kawan kelas adik boleh jadi cikgu hari ini, siapa yang adik pilih agaknya dan sebab apa ya?
- Adik rasa/fikir apa peraturan cikgu yang paling penting?
- Kalaulah adik boleh ajar satu subjek (atau adik jadi cikgu), subjek apa yang adik akan ajar? Sebab apa.
- Cuba beritahu ibu/ayah 3 waktu berlainan yang adik guna pensel hari ini.
- Apa satu benda dari rumah yang adik idam nak bawa ke sekolah bersama?
- Kalau adik ada kayu sakti, apa benda yang adik nak ada dalam kelas adik?
Jumlah soalan pilihan anda = 8 + 8 + 6 + 8 = 30 soalan. Ha banyak tu kan. So takyah dah risau nak tanya apa lagi.
Soalan jenis tertutup ada tak kawan menangis dsb adalah sesuai untuk anak yang tak reti bercerita sangat (introvert). Sebab kita nak dia boleh menjawab “ada” atau “tidak”, sekurang-kurangnya.
Walau kita tahu elok soalan berbentuk terbuka seperti “Macam mana keadaan kelas hari ini?” (sangat terbuka jadi anak memang tak reti nak cerita mana satu, luas sangat kecuali jenis anak suka bercerita).
Macam anak-anak saya berdua tu masuk aja kereta terus bercerita tentang sesuatu yang penting dan utama berkaitan kawan lah, cikgu lah, makanan lah dan macam-macam lagi sampai kena suruh stop, kena sorang sorang bercakap. Kerana mereka memang ekstrovert dari segi sosial.
Cara Lain Yang Kita Boleh Amalkan Agar Anak Senang Bercerita:
1) game dadu emosi – boleh main bersama seluruh keluarga, boleh tanyakan apa yang buat dia rasa itu : contoh dia dapat permukaan dadu emosi gembira, dia kena cakap pasal apa buat dia gembira sebab semua orang akan cakap ikut giliran. Kalau dia dapat takut dia juga akan jawap apa yang buat dia takut, somehow kita boleh la korek apa berlaku di sekolah kan.
2) nyatakan 3 kebaikan atau pencapaian atau kesyukuran (gratitute) kita hari ini
“Ibu mulakan, hari ni ibu gembira dan bersyukur sebab ibu berjaya siapkan laporan ibu dan hantar kepada bos ibu tepat atau awal pada masanya, kedua ibu bersyukur sebab berjaya ambil anak-anak ibu di tadika on time pukul 5.30 petang, ketiga ibu bersyukur sebab ibu dapat buat solat dhuha kat tempat kerja ibu walau ibu sibuk kerja masa 10 pagi tu.
ok anak ibu boleh bagitau apa 3 perkara yang anak ibu syukur hari ini?”
Kadang saya nyatakan sebagai beritahu Mummy 3 kebaikan yang Fateh buat hari ini.
Memang anak akan seronok nak ingat balik atau nyatakan 3 kebaikan dia buat di sekolah hari ni.
Maka dapatlah kita dengar bila dia berjaya tak lawan / balas kawan pukul (seperti kita selalu ajarkan), or dia berjaya tahan marah dan tarik nafas walau rasa nak balas balik, atau dia berjaya siapkan kerja, dia tolong bentang sejadah atau dia jadi imam so on…
(Kenapa fokus yang baik, sebab kita nak tarik mood yang baik, positif, syukur dll yang elok saja. Nikmat akan bertambah bila kita bersyukur apa yang ada walau kecil pencapaian itu, tidak mengapa).
* kalau perasan lebih kepada kita yang mulakan sharing tu bagi anak biasa mendengar cerita, kemudian baru anak ada idea dan terpengaruh nak bercerita.
* dan ia tidak kelihatan seperti soalan biasa nak tau apa dia belajar di sekolah, sebab dia tak minat ditanya tentang soalan apa dia dah belajar (terutama anak lelaki, dia lebih berminat bermain kan). Jadi tanyalah soalan-soalan lain berkisar pengalaman dia yang kita andaikan dia ada alami, ok.
Semoga bermanfaat, share kan dengan ramai orang lagi ya.