Bagaimana Emosi Sihat Anak Dibantu Melalui Aktiviti Fizikal ?


Emosi Sihat Anak Melalui Aktiviti Fizikal

 

Tekanan dialami anak masa kini tidak sama dengan tekanan dialami ibu bapa pada zaman dahulu. Ini kerana set cabaran pada masa dahulu adalah berbeza dengan masa kini. Antara cabaran utama ibu bapa masa kini adalah berkaitan dengan keselamatan anak di luar rumah dan cabaran internet di dalam rumah.

 

Ramai ibu bapa berasa tidak selamat untuk membiarkan anak bermain aktiviti fizikal di luar rumah. Gaya hidup masa kini juga turut berubah dan anak-anak banyak bermain menggunakan pelbagai gajet di dalam rumah.

 

Keperluan anak membesar secara seimbang memerlukan elemen perkembangan menyeluruh iaitu fizikal, mental, emosi dan spiritual, dan aspek fizikal terutama motor kasar semakin kurang ditekankan melainkan mata pelajaran pendidikan jasmani di sekolah.

 

Apa yang berlaku adalah penggunaan tenaga anak-anak yang sedang membesar adalah tidak seimbang sehingga menyebabkan mereka tidak dapat melepaskan tenaga dari dalam diri secara optimum dan berkesan.

 

Pengeluaran tenaga emosi negatif boleh dilihat apabila anak-anak mula memberontak ketika peraturan baru diperkenalkan oleh ibu bapa. Contohnya pengehadan penggunaan internet di rumah dengan ibu bapa mengambil semula peranti internet yang saban hari anak gunakan secara ‘gembira’ namun semakin tidak terkawal.

 

CARA CEPAT, BERKESAN DAN SELAMAT

 

Tenaga emosi negatif sebenarnya amat cepat dikeluarkan melalui aktiviti fizikal, dan ia boleh jadi aktiviti fizikal selamat atau tidak selamat.

 

Pengluahan tenaga emosi secara selamat adalah seperti berlari, bermain di taman permainan, berbasikal, berenang, bermain bola dan sebagainya. Manakala pengluahan tenaga emosi secara tidak selamat adalah memukul, menendang dan marah-marah serta membentak dan ada sehingga anak remaja mencederakan diri dan anak kecil mengalami sedikit sawan subklinikal (sawan yang tidak mempunyai sebarang gejala).

 

Bawalah anak ke luar rumah dan bermain di taman permainan bagi anak-anak kecil bawah usia 12 tahun. Bagi anak remaja dan keseluruhan keluarga, ibu bapa boleh membuat peraturan keluarga untuk beriadah di taman tertentu dengan berjalan kaki selama 30 minit, secara optima tiga kali seminggu pada waktu berkesempatan. Ia dilakukan secara rutin dan menjadi prioriti bagi kesihatan seluruh isi keluarga.

 

Benar seperti kata pepatah atau slogan sewaktu kita kecil dahulu, ‘otak yang cerdas datang dari badan yang cergas’. Dengan badan yang cergas melalui aktiviti fizikal, anak-anak malahan individu dewasa akan lebih mudah mencerap mesej positif yang ingin disampaikan oleh individu lain. Ini kerana proses memahami dan menerima dari otak berlaku ketika emosi ringan dan sihat.

 

Emosi yang juga merupakan sebahagian daripada anggota badan akan mendapat banyak manfaat dari pengluahan tenaga emosi yang berlaku secara bukan lisan, iaitu aktiviti fizikal sihat dan selamat. Kesannya, bukan sahaja badan kita menjadi sihat, malahan emosi juga menjadi menjadi ringan dan positif.

 

 

Maznah Ibrahim

2 Jun 2023


Maznah Ibrahim
Maznah Ibrahim
Articles: 151

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *