Geram dan Pening Bila Anak Usia 2 Tahun Bercakap Tidak Benar atau Tidak Mengakui Perbuatan Silapnya?
Isu anak bercakap tidak benar adalah antara yang kerap ditanya kepada saya, sama ada di dalam ‘support group ebook’ mahupun di ‘inbox’ atau email.
Dan ini adalah pertama kali saya menulisnya secara formal.
Sebenarnya kita boleh mencegah dari permulaan iaitu semasa awal pertama kali anak mungkin melakukan adegan ‘bercakap tidak benar’ ini semasa usia 2 tahun. InsyaAllah saya akan ‘cover’ untuk usia lain pula sebab setiap fasa perkembangan mengikut usia adalah tidak sama penjelasannya atau latar belakang (behind the stories / what happened in their brain???).
Anak Usia 2 Tahun Bercakap Tidak Benar
Bagi kanak-kanak berusia 2 tahun, mereka berada dalam fasa autonomi + imaginasi tinggi + egosentrik + praoperasi (mahu cuba lakukan sendiri, mempunyai limpahan bayangan/idea dan keinginan melakukannya secara terus, serta dunianya berpusatkan dirinya sahaja dan dah beritahu berulang nampak dia macam faham tapi tak faham-faham lagi rupanya),
dan garisan antara fantasi dan realiti sebenarnya masih kabur, serta ini dapat menjelaskan tentang mengapa anak kecil seperti mudah atau suka ‘bercakap tidak benar’ (perhatikan saya tidak gunakan perkataan berbohong ya sebab ia label atau ‘judgement’ besar sekali, dan dalam ebook hypnoscript saya mahu kita niatkan dan target anak akan bercakap benar nanti).
Mengapa? Apa sebenarnya berlaku kepada anak dalam fasa ini?
Niat mereka sebenarnya bukan untuk ‘menipu’ kita (lagi sekali perkataan ini kurang tepat tetapi untuk kita faham secara terus saya gunakan di sini ya); tetapi dia sebenarnya sentiasa ingin menggembirakan ibu bapanya (‘please’ kita yang mana dia amat sayangi kita dan kita adalah autoriti atau penting dalam hidup mereka) dan dia memikirkan apa yang harus dia katakan untuk membuat kita ibu bapa berasa bahagia – walaupun itu tidak benar.
Haaa… gitu, boleh tenang-tenang dan lihat dari perspektif pemikiran si kecil ya 😅😅😅.
Pasti ibubapa berasa marah bila dapati anak tidak mengaku dan bercakap tidak benar kan?
Cara terbaik untuk menangani adegan ‘kebohongan kecil’ ini adalah dengan menjaga kemarahan atau kekecewaan kita.
Ini kerana reaksi spontan kita (marah, menuduh, memaksa mereka untuk mengakui dsb) boleh mengelirukan lagi mereka kerana niat sebenar mereka adalah baik (nak gembira dan bahagiakan kita).
Jadinya dengan kemarahan kita sebenarnya akan membuatkan mereka lagi bercakap tidak benar, sentiasa menyorokkan kesalahannya dan melakukan lebih teruk lagi di belakang kita, atau di depan kita semata mahu melihat reaksi emosi besar kita itu berulang lagi = mereka dapat perhatian segera.
Perhatian segera pula buatkan mereka akan mengulangi lagi dan lagi sebab ia adalah ganjaran walaupun ganjaran negatif.
Anak akan belajar / imitasi reaksi kita dan pengurusan emosi adalah skil yang dibentuk pertama kali pada usia ini; 2 tahun (😱 awalnya bukan macam kita dah dewasa baru terkial-kial nak belajar ilmu pengurusan emosi).
Cetusan emosi (ibarat letusan api kecil) kita itu sebenarnya akan dipelajari mereka, dan mereka akan mudah bertindak begitu juga.
Contoh adiknya tumpahkan air susu dan dia juga akan marah atau kelihatan terkejut luar biasa, menjerit dan mengadu kepada kita (bukan bertindak solusi tetapi membesarkan isu).
Fasa ini juga di dalam perkembangan otak adalah fasa kedua setelah otak reptilia aktif (usia 0-2 tahun), iaitu kini sedang aktifnya otak emosi (biasanya bermula usia 1.6 – 3.0 tahun).
Fasa inilah emosi mudah tercetus (dirasai) dan diluahkan secara spontan (bergembiralah wahai ibubapa sebab mereka tidak simpan/ pendam/ sorok perasaan mereka seperti orang dewasa kebanyakannya, mereka memang spontan dan real).
Jadi cara mereka mengurus emosi kecewa dan marah mereka ketika ini adalah banyak dipelajari atau ditiru daripada cara gaya kita bertindak kepada satu-satu situasi; sama ada kita pasif, agresif atau asertif, dan sama ada kita reaktif atau responsif. Yang sebaiknya ialah ASERTIF dan RESPONSIF.
Fasa ini jugalah mereka belajar meregulasi emosi mereka (urus emosi, ‘adjust’, ‘adapt’).
Apakah yang terbaik kita lakukan bila dia lakukan kesalahan, dan tidak mengakui kesilapan malahan bercakap tidak benar?
Daripada mengharapkan pengakuan dari si anak, bertindaklah berdasarkan teknik solusi dan aksi bertanggungjawab ke atas situasi yang telah berlaku.
Fokus kepada penyelesaian masalah bukan fokus kepada isu / insiden / masalah itu sendiri sahaja.
Sebagai contoh, jika dia mengatakan bahawa dia tidak melukis dengan krayon di dinding tetapi kita dapat melihat tanda di dinding dan tahu ini adalah dari dia, bantu dia untuk membersihkannya dengan memberitahu peraturan asas fungsi alat bahawa krayon adalah untuk mewarnai buku dan kertas sahaja dan bukan dinding.
Boleh beritahu skrip ‘Tidak dan Disusuli Ya’ ini:
“Tidak boleh gunakan krayon di dinding tetapi krayon boleh digunakan di kertas, ok”.
Ini boleh menjadikan situasi atau suasana semasa itu kurang menakutkan baginya untuk dia mengakui kesilapannya. Kita berdoa agar latihan sebegini akan membuatkan dia berasa bertanggungjawab dan lebih gembira mengakui berbanding bercakap tidak benar.
Boleh juga tambahkan nanti semasa usia 3 ke atas akan perasaan dan kesukaan kita sebagai ibubapa:
“Mama lebih suka dan gembira bila adik bercakap benar, walaupun adik berbuat kesalahan (contoh pukul adik, buat adik menangis, tumpahkan air, sepahkan beras/kekabu dll, pukul kawan di taska), berbanding Mama dapati perkara sebenar dan adik bercakap tidak benar pula (dua kesalahan)”.