Sebagai wanita, kita tidak akan pernah tidak penat dalam mengurus anak-anak dan urusan rumah seharian.
Sememangnya dalam menangani kebisingan, keriuhan, gelak ketawa malahan pergaduhan anak-anak, itulah yang menjadi sebahagian dari hidup kita selagi bergelar ibu dan ayah.
Bising, dan penat.
Itulah yang boleh digambarkan secara tepat akan suasana dan perasaan yang kita alami setiap hari, saban hari.
Dari satu hadith ni, saya mempelajari bahawa ganjaran syurga untuk Saidatina Khadijah yang diberitakan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w, yang mana ketika itu Saidatina Khadijah setiap hari membawakan makanan untuk suaminya Rasulullah s.a.w yang sedang berada di Gua Hira’; ialah satu suasana yang tepat menggambarkan pengalaman situasi dan perasaan sebenar wanita. Subhanallah betapa Allah itu Maha Tahu apa kita alami, rasai.
Dua perkataan itu ialah : tiada kebisingan dan tiada keletihan.
Kita bayangkan keadaan Saidatina Khadijah yang memiliki bukan sahaja 6 orang anak malahan dua lagi anak angkat (Zaid dan Ali) di rumahnya yang pastinya bukan mudah atau senang, dengan keadaan beliau (usia meningkat, anak-anak kecil dan ramai) setelah mendedikasikan seluruh harta, tenaga serta sokongannya untuk baginda s.a.w.
Semuanya kerana Allah jua. Dan ketika itu Baginda s.a.w tidak berkahwin dengan wanita lain melainkan hanya Saidatina Khadijah seorang ketika itu. Besarnya pengorbanan Saidatina Khadijah dan mendalamnya juga kasih sayang Rasulullah kepada isterinya itu.
Saidatina Khadijah diberikan khabar gembira akan ganjaran syurga oleh Jibril A.S dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
فَأَقْرِئْهَا مِنْ رَبِّهَا السَّلاَمَ وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ وَلاَ نَصَبَ
Maksudnya: Sampaikan salam daripada Tuhannya al-Salam, dan berikan kepadanya berita gembira akan sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada qasab, di mana tiada bunyi bising atau keletihan.
Sahih al-Bukhari (7497)
“O Messenger of Allah, Khadijah is just coming with a bowl of soup (or food or drink) for you. When she comes to you, give her greetings of peace from her Lord and from me, and give her the good news of a palace of jewels in the Garden, where there will be neither any noise nor any tiredness.” (Bukhari & Muslim)
Motivasi Untuk Kita Semua
Jadi motivasi untuk kita semua sebagai ibu, wanita, yang penuh dengan emosi dan kepenatan fizikal, mental dan emosi ialah: ganjaran sebuah syurga yang baik (walau tidak senombor 1 Saidatina Khadijah) ialah sebuah tempat yang pastinya aman damai, tenang (tidak bising) dan tidak meletihkan, kan?
Jadi, senyum, chill, dan ingatlah bahawa kepenatan dan kebisingan dalam rumah kita ini adalah sementara sahaja. Malahan memang benarlah anak-anak dan suami juga adalah tiket atau saham (pahala) untuk ke syurga kekal abadi…….
Yang kita perlu sentiasa dambakan ialah Redha Allah. Buat semua ini kerana Allah. Kerana Dialah yang sebaik-baiknya tahu kemampuan kita, dan memberikan ujian malahan ganjaran yang setimpal dengan apa jua yang kita lakukan saban hari. Ucapkan Alhamdulillah selalu dan selalu dan setiap masa…..
Bersabarlah wahai sahabat semua.
*Amalkan juga zikir Fatimah yang boleh diamalkan setiap hari (sewaktu berbaring sebelum tidur, melepaskan lelah seketika atau waktu lain yang kita rasa itu waktu me time kita: saya menyebut zikir ini sewaktu selepas solat saya dan juga sewaktu menidurkan anak) yang mana sambil menyebutnya kita akan mengingati kisah kepenatan Saidatina Fatimah anakanda Rasulullah yang mengadu tentang kepentan urusan hariannya dan meminta bantuan untuk pembantu. Baginda hanya memberitahu untuk mengucapkan zikir ini: iaitu
‘Subhanallah’ (33 kali),
‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan
‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.
InsyaAllah akan rasa tenang dan hilang penat lelah semua, amalkan saja ya.
Ok ? Sementara sahaja, sementara anak kecil dan sementara di dunia.
Masa amat pantas berlalu, tiadalah masa untuk kita fokus kepada negativiti, malahan fokuslah kepada penghayatan ibadah setiap hari, setiap masa dan saat dan perbuatlah sebaik mungkin kita boleh. Looking forward untuk kita berjiran di syurga InsyaAllah… 🙂
Assalamualaikum, boleh saya tahu adakah ebook ini dlm bentuk softcopy atau hardcopy, kerana saya ingin dptkan naskah ini dlm bentuk hardcopy/buku, bagaimana ye
waalaikumsalam puan Fida, maaf puan, kami hanya ada dalam bentuk softcopy sahaja. Option yang kami boleh cadangkan, puan print sendiri ebook berkenaan jika puan perlukan hardcopy.