Anak Mungkin Berpersonaliti Introvert… Macam Mana Nak Bantu?
Tak semua anak selesa di khalayak ramai, ini dinamakan introvert.
Jenis introvert ni lebih selesa bekerja dengan benda dan data berbanding dengan manusia, bila besar nanti.
Personaliti Introvert ini diwarisi secara genetik, dan tidak salah sama sekali.
Namun dengan mengambil kira 80% persekitaran menyumbang kepada pembentukan personaliti,
dia boleh dibantu ditingkatkan sedikit kemahiran sosialnya,
agar lebih mudah nanti bila dah masuk sekolah,
untuk kebaikan dirinya dengan persekitaran baru (rakan sebaya dan guru).
Caranya:
1.Boleh mula bawa dia ke sesi playgroup secara seminggu sekali, sejak usia 2+. Ia mengandungi kanak-kanak yang tak ramai sangat, sekitar 4 orang memadai. Ia juga melibatkan guru yang mesra kanak-kanak dan ibu/bapa perlu ada sekali dalam sesi itu kerana faktor usia dan kebergantungan emosi masih tinggi kepada ibubapa.
2. Boleh mula buat acara makan-makan di rumah, sejak anak bayi. Jemput kawan yang rapat dalam beberapa keluarga, dan pastinya kawan rapat ni ada anak kecil. Beri peluang anak kita lihat bagaimana kita bersosial dengan kawan baik kita (sesama dewasa), dan beri peluang anak kita bersosial dengan anak kawan kita, dalam persekitaran yang terkawal iaitu di rumah kita sendiri. Sesama lingkungan kawan kita ni, kurang risiko ‘judgement’ kerana sama-sama fahami anak kecil dan kenal rapat ibubapanya.
3. Juga boleh bawa anak ke acara makan-makan di rumah kawan baik kita pula. Bertukar-tukar rumah. Acara ni sebulan sekali pun dah memadai. Anda akan dapati dalam beberapa kali acara makan-makan pun anak akan mula meningkat minat terhadap pergaulan sosial luar dari ruang lingkup keluarga kecilnya sendiri.
4. Boleh bawa ke tempat bermain awam, samada tertutup (indoor: jenis banyak jam lama-lama pun takpa) atau terbuka (playground biasa). Anak bebas bermain dengan alat permainan, dan akan belajar bergaul dan ambil giliran dengan kanak-kanak lain, dengan pantauan orang dewasa.
5. Boleh bacakan buku untuknya sejak usia 1. Buku berkenaan kemahiran sosial, ambil giliran, bersabar, main bersama dsb. Juga termasuk aspek ini adalah video Omar dan Hana : ‘Main Sama-sama’ dan ‘Seronoknya Berkunjung’ tu. Buku pernah saya guna dulu adalah Baby Khalifah (kini mungkin tiada). Ini untuk masukkan skema kehidupan prosocial kepada anak melalui medium ketiga (bukan diri dan ibubapa/manusia terdekat). Anak akan ingat ia adalah normal atau standard dunia untuk bergaul dan bermain dengan baik sama-sama.
*Hakikatnya di dunia sebenar dewasa kelak memang ada aja manusia introvert dengan dunianya sendiri. Namun apa yang kita nak induce kan adalah skil tambahan untuk kebaikan dirinya kelak. Susah pula jika anak ada masalah dengan ‘lecturer’ (atau guru tadikanya), tapi dia simpan aja tak beritahu atau minta bantuan.
Refleksi,
Maznah Ibrahim