Percutian Sekolah Anak Yang Panjang Sebenarnya Peluang Keemasan untuk Bina Perapatan (Bonding) dengan Anak
– Maznah Ibrahim
Ramai juga ibubapa yang buntu bila anak-anak cuti sekolah. Nak diberi apa aktivitinya selain dihantar ke kelas tertentu seperti kem khusus di cuti sekolah yang panjang ini (kita sub pada orang lain yang pakar dalam hal tertentu, kan dan ia adalah okay sama sekali).
Sebenarnya saya berpendapat pada waktu inilah ibubapa boleh ambil peluang untuk bina perapatan dan momen istimewa dengan anak-anak.
Maka saya senaraikan beberapa jenis aktiviti yang boleh digunakan sebagai sebahagian dari aktiviti rancangan cuti persekolahan anak anda.
Ia bagi membina perhubungan dan kerapatan dengan anak selain menghantar ke daycare yang ada aktiviti khusus dan tidak kurangnya best juga.
Tidak lah perlu terlalu rigid dan banyak aktiviti pada satu-satu hari atau satu-satu masa itu. Memadai dengan sekurangnya 1 aktiviti khusus bersama anak untuk 1 hari yang bermakna dalam hidup mereka.
*Ianya juga pasti memenuhi 5 tangki emosi mereka (perkataan baik, sentuhan baik, layanan atau tindakan, dan material) yang harus dilakukan sewaktu masa istimewa yang lebih panjang sedikit dari musim persekolahan yang penuh dengan aktiviti akademik atau formal mereka selama ini.
Sekiranya anda Home Manager atau Stay At Home Parent, atau Working At Home Mother/Father, anda juga boleh letakkan mind set yang sekurangnya 1 aktiviti bermakna untuk 1 hari selama 5 hari Isnin-Jumaat agar ia tetap memberi momen indah dan istimewa untuk kenangan mereka.
Berikut merupakan idea untuk aktiviti yang tidak memerlukan kos banyak, atau berjalan terlalu jauh, namun pasti anak-anak akan suka dan hargainya. Ini kerana ia tidaklah biasa-biasa, atau mudah (simple) sangat, malahan unik dan kategori menggunakan tenaga secara sederhana dan tinggi.
1) Pergi ke library kanak-kanak, temani dan bimbing anak memilih buku bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka.
Katakan anak A suka dekorasi dan seni, pilih buku berkenaan origami, aktiviti seni dsb.
Anak B suka mengenai planet dan cakerawala, bantu dia ke rak berkaitan sains dan cakerawala,
anak C suka teknikal dan mekanikal sikit, bawak dia ke rak berkaitan mengerjakan atau mencipta alatan sendiri bagi kanak-kanak.
*Ini bagi memberi mesej kepada anak yang sumber pelaburan utama untuk seorang manusia yang berbeza dengan manusia lain ialah peningkatan ilmu di dalam diri yang bermanfaat untuk diri dan orang lain. Buku memang satu saluran atau cara utama bagi peroleh maklumat.
2) Pergi berdayung sampan di tasik, berlari atau menaiki basikal. Bantu anak untuk aktiviti luar yang special sedikit dari hari cuti biasa Sabtu Ahad selama ini.
Ini tidak memerlukan kos terlalu tinggi memadai dengan tasik awam yang menyediakan kemudahan kayuh sampan, aquabike, basikal dsb. Ia unik dan bukan selalu anak berpeluang, kan.
*Ini bagi menyelitkan aktiviti unsur alam semulajadi dan aktiviti unik bersama anak-anak dan melibatkan seluruh keluarga seperti dayung 3 orang 1 kumpulan.
3) Pergi ke muzium, taman ular, taman rama-rama, zoo, Pusat Sains. Ia berkaitan dengan tempat lawatan khusus yang bertema dan pasti bermanfaat untuk ilmu/ info tambahan bagi dunia kanak-kanak ini.
*Ini bagi menambahkan pengalaman anak dari sudut info baru, seperti maklumat sejarah, nama khusus satu-satu haiwan dsb.
4) Aktiviti di dalam rumah, seperti baking menu khusus, atau memasak bersama menu khusus yang melibatkan mereka dalam penyediaan bersama sekeluarga, seperti bakar-bakar atau belajar siang ikan, ketam, kopek udang dsb.
Ia nampak leceh namun ia tidak selalu dan akan diingati anak-anak sampai bila-bila. Atau juga mengecat ruang rumah, menjahit patung sendiri, melukis/ mengecat batu dekorasi dsb.
Lakukan secara bersama, dan bahagikan tugas agar ‘sistem industri’ itu berjalan dan diterjemahkan dalam aktiviti sebegini.
*Ia mengajar anak sistem organisasi sebenarnya, iaitu satu-satu kerja itu akan selesai dengan lancar, mudah dan menggembirakan bila dilakukan secara berkumpulan.
5) Pergi ke masjid negeri dan hayati keindahan pusat aktiviti keagamaan, atau solat Jumaat di masjid tidak pernah pergi, atau buat kebajikan dengan membersihkan sekeliling taman/masjid/ kawasan taman/rumah kebajikan.
*Ajari anak konsep kebajikan dan amalan yang dibawa bersama ke akhirat antaranya adalah sedekah jariah (sedekah tenaga). Dan antara tempat yang selamat, dan aura positif ialah Masjid!
6) Selesaikan misi memanjat bukit, atau berkhemah dalam hutan/air terjun. Ia aktiviti kembali ke alam sekitar dan anak naturalist pasti suka.
*Aktiviti sebegini membantu melatih survival skill anak kecil kita untuk teruskan hidup dalam situasi tidak biasa dan selesa, serta cekal dalam mencapai satu-satu matlamat (misi sampai puncak bukit).
7) Pertadingan bercerita/ ceritakan lukisan/ hafazan/ nyanyian/ main alat instrumen/ persembahan magic trick antara anak-anak dan anak-anak kawan.
Adakan majlis penyampaian hadiah di dalam box misteri dan anak-anak pasti suka melakukannya. Ia boleh dilakukan di dalam rumah untuk latihan skala kecil dahulu.
* Ia melatih keyakinan diri anak untuk tampil ke hadapan dan persembahkan sesuatu kepada ‘orang ramai’.
Kesimpulan:
Sentiasa fikirkan ia peluang luar dari sistem atau jadual /kalendar akademik anak-anak, maka mereka mendambakan anda sebagai guru kehidupan mereka. Ia berkaitan dengan masa berkualiti dan di luar rutin hidup mereka selama ini.
Apapun ikut kemampuan anda, kegemaran dan kecenderugan keluarga anda. Tidaklah salah apa saja aktiviti, ini sekadar idea tambahan sahaja.
Selamat menjalani cuti persekolahan sebelum memasuki tahun 2020 kelak.
Care,
Maznah Ibrahim
27 November 2019