6 Pit Stop Dalam Kehidupan ‘Parenting Journey’ Kita…


6 Pit Stop Dalam Kehidupan ‘Parenting Journey’ Kita…



Dalam kehidupan yang stabil atau seimbang, menjurus ke arah kebahagiaan, atau kemenangan dan kejayaan, perlu ada matlamat yang jelas.



Dalam menuju ke arah pencapaian matlamat itu, akan ada hentian-hentian sementara bertujuan untuk melepas lelah, berbincang, mengambil semangat atau motivasi dan seterusnya sedia untuk ‘move on’.



Dalam kerja dan usaha keras itu, perlunya fokus dan istiqamah iaitu berterusan menguatkan diri, kerana hakikatnya lelah itu pasti ada tetapi fokus kepada matlamat itu lebih bermanfaat berbanding fokus kepada lelah yang berlamaan.



Dalam kehidupan parenting dan perjalanan parenting kita semua, sangat penting untuk ada, sedar dan punyai matlamat jelas, yang dinamakan matlamat keibubapaan diri kita, dan terus fokus apabila kita sudah jelas dan tahu apa yang nak dicapai (ia berbeza setiap individu/keluarga).


Sebaliknya jika tiada, kita mudah terlupa, juga tersasar dan terus jauh hanyut dari melaksanakan tugas dan tanggungjawab hakiki kita setiap hari dengan baik…

Tentunya tugas utama kita di dunia ialah sebagai Khalifah Allah dan untuk beribadah kepadaNya sesuai dengan tujuan asal penciptaan manusia itu sendiri (51:56) .

Contoh 7 Matlamat Keibubapaan Harian Kita. Sumber: Maznah Ibrahim



Semuanya ini saya lambangkan pemaknaan ‘parenting journey’ kita ini dari contoh pergerakan atau perjalanan semasa satu-satu solat itu dilaksanakan.

6 PITSTOP


1. Mulakan Perjalanan Kita dengan Tetapkan Matlamat keibubapaan : Kita mulakan atau ‘pause’ sebentar, fikirkan apa matlamat keibubapaan diri kita untuk sepanjang hidup ini (atau jangka masa pendek, untuk hari ini, atau jangka sederhana untuk cuti sekolah kali ini).


Semasa kita nak mula solat, kita akan sebut lafaz niat solat itu. Kita tahu yang kita mahu solat apa, berapa rakaat, dan cara melaksanakannya. Contohnya kita nak lakukan solat Zuhur, 4 rakaat, secara individu, dan ditunaikan kerana lillahi Taala semata.



Sahaja aku menjadi ibu/bapa, untuk sepanjang tahun kehidupan anak-anak ku (Muhammad Al Fateh, Khairunnisa’ dan Yumna Az Zahra) sama ada sehingga berakhir kehidupan mereka atau berakhir kehidupanku, tunai kerana Allah Taala.

Sahaja aku menjadi ibu/ayah hari ini, untuk anak-anakku Muhammad Al Fateh, Khairunnisa’ dan Yumna Az Zahra kerana Allah Ta’ala.


*Terima kasih sahabat wangi syurga saya Pn Irina Rahman kerana selalu share berkenaan aspek spiritual dev. di dalam Group BBMQ, antaranya niat di atas :).



2. Ketahuilah (dan laksanakanlah), bahawa ada kerja-kerja khusus sebagai IBU dan AYAH yang harus dilaksanakan – ia dilambangkan melalui bacaan tertentu di dalam solat.


Permulaannya agak panjang (rakat pertama) kemudian semakin pendek pada rakaat 3 dan 4 semasa berdiri.

Ini menunjukkan usaha ‘standard’ mana-mana kerja sewaktu awal menjadi ibubapa, adalah panjang (lama), sukar dan perit sedikit kerana pada awalnya kita banyak tidak tahu dan masih dalam belajar.

Anak pula masih kecil dan ‘demand’nya tinggi. Kemudiannya sewaktu anak semakin besar, atau anak sudah 4 orang dan ke atas, kita semakin stabil, seimbang dan mudah kerana ‘set up’ sudah kukuh dan hanya ‘continuity’ sahaja hingga akhir. Usia kita juga semakin meningkat, kan?



3. Ada ‘pause’ untuk transisi atau fasa seterusnya – ia dilambangkan dengan tomakninah (4 kali jika Zuhur) – sebelum satu-satu fasa besar berubah (dari berdiri ke duduk), wajib berhenti seketika toma’ninah.


Ia seolah-olah ‘pause’ seketika agar tidak terlalu meluru dan terburu-buru dalam setiap tindakan besar atau keputusan besar dalam kehidupan.

Contoh harian, anak minta mainan (test the boundary) walau sudah janji 1 mainan 1 kali sebulan. Ibu ayah harus berhenti sejenak untuk ‘pause’ dan kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama, bukannya terus setuju. Be firm with Kind.

Contoh pada masa depan kelak anak nak masuk asrama penuh yang mana, atau universiti mana untuk ambil ‘course’ tertentu, atau mahu berkahwin, ia keputusan besar untuk satu-satu transisi kehidupan, wajiblah berhenti sejenak = ‘pause’, sebaiknya tunaikanlah solat hajat dahulu, barulah keputusan dilakukan dan diteruskan perjalanan untuk fasa baru itu.



4. Ada rehat pendek – duduk di antara dua sujud (contoh Zuhur ada sebanyak 4 kali), ianya seperti ‘self care’ iaitu momen-momen pendek yang dilakukan setiap hari atau sepanjang tahun untuk ‘maintain energy’ agar boleh ‘boost up the energy’ dan ‘motivation’, namun belum berakhir lagi perjalanan parenting ini 🙂 .


Contohnya kita hadiri majlis ilmu parenting, ilmu spiritual, ilmu bermacam lagi, serta hadiri sesi terapi diri, berjumpa kenalan baik, membaca buku/artikel, solat sunat di malam hari dan berbagai lagi sebagai aktiviti ‘self care’ diri kita. Ia penting dari berterusan bekerja sebagai ibu dan ayah dan tiada pernah rehat.



5. Ada rehat sederhana panjang – ia dilambangkan dengan Tahiyat Awal, duduknya lebih lama sedikit dari rehat antara dua sujud tadi.


Ia seolah seperti rehat satu keluarga 1 tahun sekali pergi bercuti, pergi tunaikan umrah, pergi jauh dari kota dan ambil cuti panjang sedikit mungkin 3-5 hari, atau 1-2 minggu untuk rehat sederhana panjang. Bayangkan jika 5 tahun bekerja dan tiada rehat sederhana panjang ini, apa jadi? Burnout kan?

So, dah berapa lama tak bercuti sederhana panjang dengan keluarga?



6. Ada rehat panjang sebelum memberi salam akhir kepada dunia – tahiyat akhir.

Kita duduk lama dengan bacaan Tahiyat Akhir, dan bersedia untuk tamatkan perjalanan parenting kita sebelum berjumpa Pencipta kita, beri salam lambaian akhir kepada anak-anak, menantu, cucu-cucu, sahabat karib yang bersama dalam perjalanan parenting kita.

Moga akhirnya adalah baik-baik, tenang, dan puas untuk mengadap Ilahi… dan tugas sebagai ibu / ayah telah dilaksanakan dengan baik… InsyaAllah.

Tidak mahu menjadi warga emas yang kesal di kehidupan hujungnya dan merintih perhatian dan kasih sayang anak seperti anak kecil kita yang sering menagih masa dan perhatian dari kita yang super sibuk sewaktu ‘muda’ dan anak kecil.

Maka tetapkanlah masa pitstop yang berkualiti ini dengan anak-anak sewaktu kecilnya dengan niat ia adalah sebahagian tanggungjawab hakiki kita sebaik menjadi ‘IBU’ dan ‘AYAH’, penjaga mutlak anak ini sewaktu di dunia.


——————-*———–*—
*Disclaimer: Ia adalah sekadar refleksi peribadi saya berkaitan solat dan kehidupan, tercetus pabila saya sedang solat Zuhur hari ini tadi, dan pernah tercetus sebelum ini pada masa-masa sibuk dahulu namun tiada kesempatan menulis,

dan ini tiada kena mengena dengan akidah atau ibadah ritual masing-masing.



Kebaikan solat menurut sains telah ada (boleh beli buku di banyak bookstore), dan ini sekadar metaforikal solat dan kehidupan parenting sementara kita di dunia.



Hakikatnya tugas dan kewajipan menjadi ibu dan ayah tidaklah berakhir pada waktu atau fasa tertentu, malahan ia sebenarnya berterusan sehingga akhir hayat kita ATAU akhir hayat anak-anak kita.



Sekian,

Maznah Ibrahim

26 November 2019

Sila Klik Pada Gambar Untuk Dapatkan Maklumat Lanjut Mengenai Ilmu Mengurus Masa

Maznah Ibrahim
Maznah Ibrahim
Articles: 151

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *