WHO telah menyatakan 1 dalam 4 penduduk dunia mempunyai penyakit mental, dan kemurungan (depression) adalah penyebab kedua kematian penduduk dunia pada tahun 2020 selepas penyakit jantung.
Ramai masyarakat kini telah mula memfokus kepada kesihatan mental walaupun ia masih taboo dan tidak biasa dibincangkan.
Ini kerana mungkin perkataan ‘mental’ itu sendiri telah disalah ertikan sebagai ‘gila’ dan stigma yang masih kuat mengenai penyakit mental ini kerana kita tidak tahu bagaimana membantu mereka, dan bagaimana teruknya penderita pesakit mental (tidak nampak dengan mata kasar) selagi kita sendiri bukanlah pesakit mental itu atau keluarga mereka (juga tidak sama namun lebih dekat berbanding kita yang tidak ada ahli keluarga pesakit mental).
Kajian NHMS (Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan) untuk remaja Malaysia berusia 13-17 tahun pada tahun 2017 menunjukkan 1 dalam 10 remaja kita mempunyai simptom tekanan, 1 dalam 5 mempunyai simptom depression dan 3 dari 5 mengalami simptom kebimbangan atau keresahan.
Kesan Penderaan Kanak-Kanak & ACE
Kajian terkini oleh CDC di US menunjukkan pengalaman awal kanak-kanak yang traumatik (ACE: Adverse Childhood Experiences) seperti penderaan (fizikal, emosi, seksual) dan cabaran kehidupan dalam keluarga (ahli keluarga mempunyai penyakit mental, keganasan kepada pasangan, penceraian ibubapa, pemenjaraan dan penyalahgunaan dadah) menyumbang kepada penyakit kronik fizikal dewasa, depression, obesiti/lebihan berat badan, alkohol, merokok dan cabaran sosioekonomi dewasa kelak.
Membaiki atau mencegah pengalaman awal traumatik kanak-kanak ini boleh mengurangkan sehingga 44% orang dewasa yang depression atau bersamaan dengan 21 juta pesakit depression dewasa. Ia adalah satu jumlah yang agak besar.
*Jemput baca artikel penulisan saya di sini mengenai kajian ini
Di sini suka saya nak kongsikan 5 perkara yang kita boleh lakukan dari awal untuk anak-anak kita sekiranya kita ada faktor risiko tekanan dalam keluarga (seperti perkara dalam Adverse Childhood Experiences: ACE di atas) agar anak kita kekal sihat, sejahtera fizikal dan psikologinya dewasa kelak :
Beri Sokongan Emosi Kepada Anak Dengan Hantar Anak Kepada Terapi Kaunseling
Ini bermaksud, kebiasaannya apabila diri kita sendiri sudah agak stres, kita kurang mampu memberi sokongan emosi kepada anak secara tepat.
Maka eloklah kita beri ruang dan peluang kepada anak untuk mendapat satu ruang terapeutik khas bagi dirinya tanpa kita, untuk melepaskan segala emosi terpendam dan terkesan daripada faktor tekanan di dalam keluarga.
Boleh ke pusat psikologi atau kaunseling yang menawarkan sesi kaunseling untuk anak sama ada percuma atau berbayar. Di hospital kerajaan memang kita ada pegawai psikologi kaunseling namun perlulah mendapatkan rujukan daripada doktor pesakit luar kerajaan terlebih dahulu bagi tujuan berjumpa dengan kaunselor.
Sekiranya kita ada kes melibatkan badan autoriti seperti polis dan JKM, sebenarnya ada tawaran untuk sesi kaunseling ini, namun perlu diingatkan kepada ibubapa untuk konsisten dan tetap menghantar anak ke sesi terapi walaupun kita rasa macam anak tidak dapat apa-apa, namun sebenarnya proses di dalam mindanya dan badannya telah berlaku ‘sesuatu’ (intervensi lebih baik dari tiada intervensi), dan kesannya adalah jauh nanti, untuk kesihatan mentalnya kelak (berpuluh tahun akan datang).
Ini kerana banyak orang dewasa kini sebenarnya memang tidak berpeluang untuk mendapat sesi terapi semasa mereka kanak-kanak dahulu. Maka kesannya dapat dilihat kini pabila mereka sendiri menjadi ibubapa (banyak trigger).
Keibubapaan Beri Fokus Kepada EQ berbanding IQ Semata
Jika selama ini kita hanya memfokus kepada akademik anak, mulalah memfokus kepada perkembangan emosinya. Ada beberapa cara mudah di rumah boleh mula dilakukan. Artikel saya di sini ada dikongsikan 5 komponen EQ dan cara kita bantu terapkan atau bentukkan sejak anak kecil lagi.
Keibubapaan gaya autoritatif adalah lebih baik untuk kesihatan mental anak dewasa kelak, iaitu ibubapa ada demand yang tinggi (harapan/ekspektasi untuk anak) namun dalam masa yang sama ibubapa juga beri support yang tinggi untuk anak. Ini berbeza dengan gaya keibubapaan autoritarian yang meletakkan demand yang tinggi namun tiada atau kurang support kepada anak terutama dari segi sokongan emosi.
Bantu Diri Sendiri
Sebenarnya ibubapa yang stabil dan sihat emosi, merupakan faktor pelindung (protective factor) yang amat besar sumbangannya agar anak tidak terlibat dengan gejala tidak sihat dan selamat.
Maka ibubapa yang positif dan berusaha membantu diri (sekiranya ibubapa stres, berjumpalah dengan doktor dan kaunselor), sebenarnya membantu anak tanpa sedar.
Banyak ibubapa sibuk mahu menghantar anak ke terapi namun tidak sukarela untuk dirinya diterapikan.
Maka terbukalah untuk menghadiri sesi terapi / psikoterapi kaunseling kerana ia sedikit sebanyak bakal membantu anak secara tidak langsung.
Apa jua isu boleh dikongsikan kerana kaunselor anda akan memegang etika kerahsiaan dan membantu anda untuk banyak strategi daya tindak yang baik, positif dan selamat.
Spiritual
Banyak dekatkan diri dengan amalan spiritual membantu untuk pencegahan awal.
Amalan bermaksud lakukan secara konsisten.
Dekatkan diri secara bersama dengan anak untuk Al Quran dan Solat sunat (baiki kualiti solat fardhu dahulu) serta amalan spiritual lain.
Banyak kajian menunjukkan elemen SQ (Spiritual Quotient) adalah protective element yang membantu secara signifikan akan kesejahteraan dan kecerdasan menyeluruh seseorang individu agar kekal stabil, sihat dan sejahtera.
Banyakkan Aktiviti Fizikal, Mendapat Tidur Berkualiti dan Ambil Pemakanan Baik
(i) Aktiviti fizikal membantu untuk merembeskan hormon antistres (dopamine, norepinephrine, dan serotonin) dan membantu mood positif. Selalulah bawa anak-anak ke aktiviti outdoor dan bersekali ibubapa melakukan aktiviti fizikal ini.
Adakan slot 30 minit per sesi, untuk 3 kali seminggu. Jika lebih pun adalah lebih baik. Namun jika tidak mampu, sekali seminggu untuk 1.5 jam pun sangat baik dari tiada langsung kan.
Semasa beraktiviti fizikal bebas, anak sebenarnya melepaskan energi emosi negatif di dalam badannya.
(ii) Tidur juga sebenarnya amat penting agar mencukupi kerana sewaktu tidur itulah toksik di dalam otak akan dikeluarkan/dicuci. Carilah jalan agar anak mendapat tidur berkualiti 8 jam pada waktu malam dan nap siang.
Untuk diri ibubapa, pastikan dapat tidur malam yang panjang 8 jam. Sekiranya tidak mampu, memadai 5 jam malam dan tengahari 27 minit kerana 27 minit qailulah itu membantu meningkatkan kualiti tidur malam sebanyak 30%.
(iii) Manakala makanan yang baik dan sebenar / real (bukan junk/processed food) amat mempengaruhi badan, minda dan emosi juga. Boleh follow beberapa individu yang selalu berkongsi mengenai tidur, makanan dan senaman (saya selalu follow Dr Rizal Abu Bakar).
Kesimpulannya, pencegahan kan lebih baik dan menjimatkan daripada merawat?
Kesemua di atas ini adalah amalan biasa saja dan amat baik juga untuk mana-mana manusia biasa / normal sekalipun.
Jadi, berusahalah untuk ambil berat kepada elemen emosi selain kognitif.
Fisiologikal seperti pemakanan, tidur dan aktiviti fizikal juga adalah asas kepada individu sihat.
Pastikan seimbang dan positif selalu ya.
CARE,
Maznah Ibrahim
Ebook tak nak marah anak tu ditulis oleh puan ke?
betul tuan, sayalah penulisnya 👍