Baru-baru ini pada 5 November 2019 Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di US telah mengeluarkan satu laporan kajian panjang mengenai kesan ACE (Adverse Childhood Experiences) kepada pelbagai masalah kesihatan orang dewasa kini.
Sejujurnya sepanjang 14 tahun saya terlibat dalam kaunseling kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas, saya sudah nampak ‘pattern’ dan perkaitan antara trauma zaman kanak-kanak (childhood trauma) dengan masalah kesihatan fizikal mahupun mental semasa dewasanya.
Beberapa kajian kecil dan sederhana telah banyak dilakukan, dan kajian yang dikeluarkan oleh CDC ini mengesahkan lagi, dan boleh kita rangkumkan sebagai benar dan logik untuk sesiapa sahaja termasuk di Malaysia (jangkaan saya), kerana kajian itu melibatkan 25 buah negara dan seramai 144,017 sampel orang dewasa. Kajian ini dilakukan selama tiga tahun untuk 25 buah negara ini (2015-2017).
ACE ini apa? Ia adalah Adverse Childhood Experiences iaitu peristiwa pada zaman kanak-kanak yang berpotensi menjadi traumatik, dan dalam kajian ini 8 suasana atau pengalaman yang berpotensi sebagai traumatik ditanyakan kepada sampel kajian sekiranya mereka ada alami di sepanjang usia awal sehingga sebelum usia 18 tahun :
8 peristiwa/suasana berkait ACE itu adalah :
3 jenis penderaan:
- penderaan fizikal
- penderaan emosi
- penderaan seksual
dan 5 jenis cabaran isi rumah:
- salah guna bahan (dadah dll)
- pemenjaraan
- masalah kesihatan mental / penyakit mental
- penceraian ibubapa
- menyaksikan keganasan pasangan (ibubapa berkasar satu sama lain)
Outcome atau hasil ketika dewasa yang ditanyakan pula ialah :
- penyakit jantung koronari
- stroke
- asma
- Chronic Obstruction Pulmonary Disease (COPD) – penyakit paru-paru obstruktif kronik iaitu masalah pernafasan jangka panjang
- kanser (tidak terlibat ialah kanser kulit)
- penyakit buah pinggang
- diabetes
- depression
*Iaitu mereka telah disahkan mempunyai penyakit ini oleh doktor perubatan
Outcome atau hasil lain diambikira dalam kajian juga adalah:
- BMI mereka – samada mereka lebih berat badan (overweight) (BMI lebih atau sama 30) atau status obesiti iaitu lebih atau sama BMI 25
- Merokok (seumur hidup sama ada 100 batang rokok) atau aktiviti merokok yang berlaku dalam beberapa hari ini (current)
- Kuat mengambil alkohol (lelaki 15 kali seminggu ; perempuan 8 kali seminggu dalam masa 30 hari lepas
- Sosioekonomi : kurang insuran kesihatan, status sekarang tidak bekerja, tahap pengajian kurang dari diploma atau setaranya.
Hasil kajian menunjukkan :
- 60.9% sampel kajian ada mengalami sekurangnya 1 jenis ACE, dan 15.6% mengalami 4 jenis dan lebih ACE
= bermaksud 3 dari 5 orang dewasa ada mengalami sekurang-kurangnya 1 jenis pengalaman tidak enak (negatif) semasa kanak-kanak (ACE)
= 1 dalam 6 orang dewasa mengalami 4 atau lebih jenis pengalaman negatif semasa kanak-kanaknya (ACE)
Hasil Analisis Logistic Regression (korelasi beberapa variable dengan beberapa variabel) mendapati :
Lebih tinggi atau banyak pendedahan kepada ACE, lebih tinggi sampel menghadapi penyakit kronik/masalah kesihatan, lebihan berat badan dan obesiti, depression, merokok, peminum alkohol dan menghadapi cabaran sosioekonomi
*pengkaji telah meng ‘adjust’ untuk faktor/variabel umur, jantina, bangsa/etnik.
Pengurangan dijangkakan (iaitu pencegahan: jika ACE dikurangkan atau dibuang; incrementally reduce or eliminated in the study population) (untuk kumpulan sampel yang mengalami 4 atau lebih jenis ACE) ialah pengurangan sehingga :
=> 1.7% bagi lebih berat badan atau obesiti
=> 27% bagi COPD ( Chronic Obstruction Pulmonary Disease)
=> 44.1% depression
=> 32.9% merokok
=> 23.9% heavy drinking (kuat minum alkohol)
=> 3.8% kurang insuran kesihatan
=> 14.9% tidak bekerja
Potential reduction of negative outcomes in adulthood
Saya percaya pencegahan adalah jauh lebih baik dari rawatan. Bayangkan satu individu dewasa yang telah didiagnos penyakit mental (depression), mereka memerlukan rawatan seperti ubat, dan psikoterapi / kaunseling. Ia memakan masa agak lama, bertahun biasanya. Belum lagi beri kesan kepada keluarganya, tempat kerja dan masyarakat.
Ia juga bermakna kos. Kos bagi masa, kos bagi ubat, kos bagi harga sebuah kebahagiaan dan kesejahteraan individu itu, dan keluarganya (pasangan, ibubapa dan anak-anaknya).
Dan ACE adalah boleh dicegah. ACE boleh jadi pengalaman traumatik kepada kanak-kanak, menghasilkan respon stres yang merupakan toksik yang memberi kesan serta merta (anak tantrum, moody, buat hal) serta memberi kesan jangka masa panjang kepada fisiologikal (kesihatan fizikal) dan psikologikal (depression dan gaya hidup negatif yang menyebabkan diabetes, obes, merokok, dadah dll).
Kesimpulannya, sekiranya diri kita sudah traumatik dan selalu kurang stabil emosi, yang sebenarnya ada kaitan dengan pengalaman awal kanak-kanak dan remaja kita, sekurang-kurangnya untuk anak-anak kita, yang ada terkesan daripada tindakan kita, kita bantulah mereka awal dengan dapatkan intervensi awal (pencegahan => bermaksud elak entropi/dis order).
Bawalah diri berjumpa pakar psikologi, kaunselor, terapis kesihatan mental bagi mengurangkan kesan trauma diri dan anak-anak kita untuk psychological treatment dan mudahan penyakit kronik juga dapatlah dicegah insyaAllah.
*Boleh ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rujukan ke kaunselor kesihatan mental di setting kesihatan. Terdapat juga banyak pusat, agensi, jabatan dan individu persendirian yang menawarkan bantuan profesional dalam membantu isu peribadi anda. Cuma pastikan anda dapatkan dari individu yang bertauliah dan memegang etika profesional dalam perkhidmatan kaunseling/terapi ini.
CARE,
Maznah Ibrahim
15 November 2019
*Lama memikirkan bagaimana nak menulis mengenai ini.
*Gaya Parenting ibubapa kita dan diri kita memang ada kait dengan Mental Health kita sebagai individu dewasa dan anak kita pula kelak.
*Ilmu Pengurusan Emosi amat kritikal untuk semua ibubapa dan anak-anak sejak kecil.
***Sumber gambar snapshot adalah dari factsheet document yang boleh anda dapatkan dari sini.
***Artikel Laporan Kajian Penuh di sini
*** Boleh dengar talk dari Dr Nadine ini dan ia membenarkan apa yang kita semua mungkin terlepas pandang atau terfikir, ada benarnya mengenai kesihatan anak kita, fizikal, mental dan kesan lama lagi :
[…] baca artikel penulisan saya di sini mengenai kajian […]