Ramai ibu di dalam Telegram Support Group pembeli Ebook saya yang meluahkan berkait perasaan sebagai ibu.
Ia dikaitkan dengan satu ‘self judgement’ atau penilaian diri yang saya kira sebagai label.
Label Ibu Teruk
Sama seperti label kepada seorang anak: “anak jahat”, “anak degil”, “anak nakal”, “anak kurang ajar” dan lain-lain lagi.
Maka label ibu kepada diri ibu sendiri adalah: “ibu gagal”, “ibu teruk”, “ibu jahat” dan seangkatan dengannya.
Kalau dilihat kedua jenis label ini (anak dan ibu), ia hampir sama.
Satu dari segi label negatif, kedua ia adalah menyeluruh, tidak spesifik, ketiga ia adalah ‘tidak benar” sama sekali, kerana pada saya tiada satu ibu pun dalam dunia ini yang sangat jahat (walau betul ada wujud) namun kita tidak berhak menilai sebegitu. Kita bukan TUHAN.
Kita Tidak Akan Sepenuhnya TAHU
Ini kerana kita tidak berada di tempatnya, kita tidak pasti bagaimana keadaannya, dan kita bukanlah dirinya. Setiap individu ada perspektif dirinya sendiri, dan kita di luar perspektif ibu itu maka kita pun nampak lain, dan berfikir mungkin kita akan bertindak lebih baik dari tindakan yang beliau ambil. Ini kerana kita di pihak luar lingkungan (di bird eye).
Maka berikanlah ‘feedback’ yang baik menggunakan teknik sandwich apabila ditanya (jika tidak ditanya biar dulu) dan bukan mengajar sebaliknya respon dengan beri maklumbalas sebaiknya.
Sebab itulah pentingnya tanya ‘feedback’, dan berada dalam ‘support group’ yang positif, untuk ‘check and balance’ dan rasa sokongan, bukan kepada orang yang hanya nak ‘favour’ kita kerana kita tidak mahu diulit mimpi dan dalam masa yang sama kita juga tidak memerlukan kecaman/ancaman yang membuatkan kita mudah rasa bersalah/teruk.
Semua Ibu Telah Buat Terbaik Mengikut Kondisinya Pada Ketika Itu
Satu yang saya percaya ialah, “setiap ibu akan perbuat yang terbaik pada kemampuannya pada ketika itu, dengan keberadaannya pada ketika itu, situasi ketika itu, anaknya pada ketika itu, diri dia pada ketika itu dan persekitaran pada ketika itu termasuk orang di sekelilingnya pada ketika itu”.
Jadi tiada istilah yang “sangat teruk”, atau “salah betul”. Ia label yang amat berbahaya (macam jatuh hukum pula).
Sekiranya ibu-ibu ini tidak mengakui kepada diri saya yang mereka ‘a bad mom’, ‘a failed mother’ etc, saya pun tidak tahu kan? Jadi untuk apa mereka kongsi dengan saya? Pastinya jauh di dalam diri, ibu perlukan sokongan dan ‘feedback’ yang sesuai untuk perubahan diri.
Yang saya percaya ialah mereka adalah ibu yang lebih baik dari ibu-ibu lain yang saya tidak tahu atau tidak pernah sedar pun yang diri dia ada perbuat silap (sebab nature/pembesaran sekitarnya), tidak pernah akses pun apa keinginan dalam hatinya berkait matlamat keibubapaan: diri, pasangan dan anak-anaknya, dan adakah perubahan perlu dilakukan.
Saya andaikan refleksi atau muhasabah sebegini pasti ada dalam setiap hati seorang insan yang dikurniakan akal fikiran, hati nurani dan jasad badan yang dia sedar dirinya dipertanggungjawabkan sebagai yang seorang yang bergelar manusia.
10 Tanda Anda Ibu Lebih Baik dari Apa Yang Anda Fikirkan
Ini 10 tanda yang boleh saya senaraikan dari sepanjang pengalaman saya sebagai kaunselor (15 tahun), sebagai ibu (8 tahun), sebagai coach ibu untuk emosi dan sabar (5 tahun ini), seperti berikut :-
1.Anda telah beli Buku atau Ebook atau telah follow dan baca, hadiri kursus/ceramah/ latihan untuk pertingkat ilmu dan skil keibubapaan diri anda sendiri.
Sebab dulu kursus kahwin adalah wajib dan anda hadiri kerana wajib. Kini setelah ada anak, kursus keibubapaan dan bacaan keibubapaan adalah atas KEHENDAK dan PILIHAN sendiri. Kan?
Saya pasti ini adalah iyer, sebab anda sedang membaca artikel penulisan saya ini sekarang.
Jadi mana mungkin anda ibu yang teruk sebab anda telah meletakkan sedikit fokus, memperuntukkan sedikit masa untuk pertingkat ilmu keibubapaan. (OK? PASS no 1).
2. Anda ada usaha belikan buku dan bacakan buku untuk anak anda. Walau 1 buku, anda pernah bacakan untuk mereka.
Ini kerana anda telah tahu buku adalah jambatan ilmu, dan membacakan buku kepada anak membantu peningkatan kosa katanya, membantu meningkatkan ‘bonding time’ atau kerapatan anda dengan anak.
Jika dulu anda pernah beli dan ada pernah bacakan, dan kini sudah jarang sebab anak sudah ramai dan sibuk, beritahu diri YESS ya, aku lulus ciri no 2 ini sebab aku PERNAH belikan untuk anak pertama dulu dan bacakan untuknya dulu 😉 (ini agak pasti semua ibubapa ada buat sekurangnya untuk anak pertama mereka).
Now it’s time untuk mulakan semula, sebab kita tidak mahu anak kita membaca di gajets berbanding buku fizikal. OK? 😉
3. Anda ada pernah usaha beli alatan / sesuatu untuk buat aktiviti kraf dengan anak, walau mungkin anda tidak sempat lakukannya atau tidak minat dan fikir tidak pandai melakukannya (atau anda adalah seorang ibu yang memang rajin melakukannya).
Ini kerana anda tahu dunia anak kecil ialah penuh dengan imaginasi, mereka suka lakukan ‘aktiviti’ sesuatu, bereksperimen, bermain dan mengerjakan alatan sebenar (gunting, gam, kertas, krayon, warna, manik, kotak, play dough, tepung dsb).
Kadang yang berkemampuan akan belikan set DIY untuk buat sendiri dengan anak yang meminta-minta nak buat aktiviti seperti di ‘sekolah’nya, atau anda cukup rajin beli bahan ‘loose’ dan buat sendiri (tepung, soda bikarbonat, pewarna makanan dll).
YEAY, ada pernah (walau hanya 1 kali). 😉
4. Anda berusaha beri anak makanan yang lebih baik, dengan sama ada beri anak makan supplemen (makanan tambahan) tertentu, atau memasak sendiri dengan air tangan sendiri.
Ini kerana anda tahu makanan yang baik membantu otak dan perkembangan awal anak, dan anda ada mulakan seawal mengandung dulu? Atau semasa anak bayi dengan solid food nya? Termasuk juga anda sendiri makan makanan yang baik sebab anda tahu apa jua anda makan zatnya sedikit sebanyak akan pergi kepada anak.
Jika anda ada bajet lebih, anda ada beli minyak yang baik (seperti VCO, Olive Oil, Fish Oil), Vit C, dan makanan sedia ada yang limited namun ia lebih baik dari di pasaran semasa.
YESS< pasti ada 1 dari ini, kan?
5. Anda berusaha belajar untuk bercakap dengan baik, tepat dan berkesan kepada anak dengan belajar cara berkomunikasi dengan anak (bayi, anak kecil), menggunakan pendekatan yang lebih sesuai, mengikut tahap usia dan kematangannya.
Ini anda lakukan dengan sama ada anda membeli buku, ebook, atau mendengar tips perkongsian dari pakar kanak-kanak tertentu sebab anda tahu perkataan digunakan beri kesan kepada emosi dan tingkahlaku si anak.
6. Anda berusaha untuk menjadi lebih sabar, lebih memahami fasa tantrum anak, tingkahlaku mencabar anak, dengan banyak berdoa, mungkin juga anda hadiri kursus pengurusan emosi, atau mempelajari tips emosi untuk anak dan diri ibubapa.
Ini kerana apabila anda menghadapi fasa emosi dan tantrum anak yang anda tak faham, anda mula memahami ia normal (dari ilmu yang betul) dan mula berusaha untuk kawal emosi sendiri dengan apa jua cara.
Saya pasti ini ADA pada setiap ibu yang ‘kata dirinya ibu yang teruk/gagal dsb’ itu. Betapa kita banyak belajar dari sang anak.
7. Anda lebih dekat dengan Maha Pencipta, dan usaha secara spiritual, kerana pada satu saat ketika, anda mula buntu dan kembali kepada Sang Maha Sumber segalanya untuk bantu anda.
Anda sedar anak adalah AMANAH Pencipta kepada anda, dan anak ini milikNya, dan kembali memohon, mengadu, meminta kepadaNya merupakan satu dari cara utama yang sebaiknya anda lakukan awal dulu berbanding mencari pelbagai pendekatan sebagai usaha anda bila hadapi kesukaran dan cabaran dalam keibubapaan. Termasuk doa tertentu, potongan ayat Quran tertentu, zikir tertentu yang anda mula berkenalan untuk amalkan, maka anak memang jambatan ke syurga kita dan ladang pahala untuk kita.
Pasti ada kan?
8. Anda menilai Pengasuh/ TASKA/ Prasekolah/ TADIKA/ Sekolah yang baik dan terbaik, kerana anda mahu letakkan mereka di suatu tempat yang selamat sewaktu anda ada tugasan lain yang menuntut tanggungjawab anda laksanakannya.
Walau anda IBU WAHM bekerja dari rumah atau surirumah sepenuh masa, satu saat anak ini akan anda mahu letakkan ke satu tempat untuk pendidikan lanjutnya,
Atau anda bekerja dan setelah habis cuti pantang bersalin, anda mula memikirkan mahu letakkan di mana tempat selamat anak ini sewaktu anda bekerja (biasanya ibu ibu sudah reiki sewaktu mengandung lagi).
Anda telah menilai dan memilih wakil penjaga/pendidik anda sewaktu anda tidak bersama anak ini.
Dan anda pilih yang terbaik! Kan? Sekurangnya untuk saat ini, kemampuan pada ketika ini, atau ada antaranya berpindah rumah atau bertungkus lumus membuat bajeting untuk ke pusat yang terbaik demi memenuhi aspek perkembangan anak.
Pasti ada kan?
9. Anda berusaha mengandung dengan baik, membaca, makan makanan yang baik dan menyusukan anak sedaya upaya / mampu anda walau setitis sahaja susu ibu sempat diberikan, pada ketika anda diuji dengan pelbagai cabaran berkait kehamilan, kelahiran dan penyusuan awal anak.
Saya pasti tiada ibu yang ambil lewa aspek ini, jika ada kekesalan kerana tidak sempurna seperti ‘sepatutnya’ atau ‘mesti’ itu, anda telah lakukan yang terbaik pada ketika itu menurut setakat mana ilmu yang anda tahu pada ketika itu.
No regret is needed to focus on when you have done your best at that time. I BELIEVE IN YOU. Biasanya anak pertama penuh dengan kekurangan, dan ini tetap merupakan sukses kerana sesuai dengan keberadaan anda pada ketika itu yang kurang ilmu dan pengalaman. Tiada sesiapa berhak menyalahkan atau menilai apa-apa kerana mereka tidak berada 100% pada situasi anda ketika itu.
10. Anda telah ubah satu habit kegemaran anda semata kerana anda mula meletakkan prioriti anak dalam list to do anda setiap hari, tidak sama sewaktu bujang trang tang tang anda!.
- Jika dulu anda suka kopi, anda sanggup kurangkan (ada yang sampai Off kan) sebab tahu kafein tidak baik untuk kandungan,
- Jika dulu bajet make up dan kelengkapan perapian diri anda sebegini amaun RM nya, kini ia dikurangkan dan ala kadar saja kerana bajet anda mula diletakkan kepada bahan untuk menyokong perkembangan dan keperluan si anak,
- Jika dulu anda mandi 20 minit merapi diri seenaknya, kini anda sempat mandi 5 minit pun dah syukur sangat,
- Jika dulu anda kunyah makanan lama dan senyum-senyum aja makan berdua dengan suami, kini anda mula berfikir makan sambil suap-anak-suap-mak pun dah ok sebab jimat masa atau bergilir dengan suami untuk makan sendirian fokus (dapat 10 minit) pun dah nikmat bahagia sangat,
- Jika dulu anda OCD bab kekemasan rumah, kini anda terima untuk rumah sedikit bersepah dan tidak sempurna licin berkilat setiap milimeter rumah,
- Jika dulu anda tidur panjang yang lena, kini anda tidur boleh la lena juga tetapi ada terganggu sedikit, dan bila bangun pagi aja anda terus bangun untuk bersiap keperluan seisi rumah, termasuk anda sanggup bangun 3 pagi sebab nak tunai solat sunat berkait keluarga anda dan anak,
- Jika dulu tak pernah marah kanak-kanak/anak buah/murid sendiri, kini ada juga terlepas marah pada anak sendiri, well, hmm.. macam tu rupanya perasaan seorang ibu tanpa sedar boleh terlepas bila penat dsb,
- Jika dulu anda make up lama juga, kini tudung pun pilih yang sarung siap 1-5 saat, dan baju/tudung ironless sangat heaven untuk anda. Terima kasih kepada pereka fesyen ibu ibu yang memahami waktu emas ibu yang nak cantik dalam masa sama ibu ni seorang yang efisien dalam bab masa!.
Kesimpulan
Nah, itulah buktinya anda seorang ibu yang lebih baik dari yang anda fikirkan.
Cukup baik untuk seorang anak yang memiliki seorang ibu untuk menjaga, memelihara, mengasuh, dan mendidiknya.
Kerana anak ini ada ibu.
Dan kerana anda seorang ibu yang ada anak.
Anda dan anak anda bukan asing/orang asing/tiada kena mengena.
Tepuk dada dan katakan
“WELL DONE, (NAMA ANDA). You have done your best. Apa jua, let it be, let it go. Move. Do the better for next time. Nobody is perfect. Allah is the ONLY ONE who is the most perfect”.
*Saya teringat seorang ibu yang deaf dan selalu pm saya di messenger fb bertanya apa jua hal termasuk pemakanan anak, botol air masak anak, alatan/mainan anak, pilihan sekolah anak, speech delay anak dan macam-macam lagi. Semuanya saya usaha bantu beri maklumat, kerana ibu hebat ini hanya perlukan pengesahan dan info sahaja dalam pembuatan keputuasannya.
*Saya juga teringat ibu saya yang hebat walau OKU penglihatan namun telah sentiasa beri yang terbaik untuk kami dalam aspek pemakanan, pelajaran, pendidikan, barang keperluan, kasih sayang dan semuanya. Maka, apalah sangat kekurangan/’kesilapan’ ibu kita berbanding usaha mereka pada waktu zaman dahulu yang serba kekurangan itu dengan kita kini yang jauh lebih banyak ilmu dan sokongan, kan?.
Sayang anda semua kerana sumber kita dari Yang Satu, penuh dengan kasih sayangNya.
Sokong semua ibu yang tengah ‘struggle’,
dengan sekurang-kurangnya kita titipkan doa untuk mereka di dalam doa kita setiap hari ❤❤❤
CARE,
Maznah Ibrahim.

Terima kasih atas penulisan anda. Sewaktu saat ini sy rasa amat tertekan kerana anak sy masih tidak dpt membaca bahasa melayu dgn lancar walaupun dh berumur 8 rahun. Seawal dia tadika sy usahakan beri dan bayar tadika terbaik yg mahal dan berbagai bagai lg buku cerita yg sy hbskn duit utk beli supaya dia minat membaca. Sy paksa dia baca setiap hari sekurang2nya satu buku cerita pendek sewaktu ay cuti bersalin 3 bulan. Tapi ada kalanya sy tetap rasa gagal bila mana dia masih ada peekataan dan ayatnyg susah dia faham. Malah bcaannya masih lg x terlalu lancar walaupun ada improvement. Sy smpi menangis meratap seorang diri kerana sy rasa sy gagal teruk sebagai ibu. Tapi penulisan anda sedikit sebanyak membamtu. Terima kasih