Ibu Bapa Selalu Marah Anak? Ini Cara Elak Luka Emosi & Kekalkan Hubungan Sihat


Pengalaman dan kesimpulan saya:

“Bila kita marah anak banyak, dan serentak kita beri kasih sayang sejati yang banyak, anak akan tetap bonding baik dengan kita. Tapi tak nafi, ada segelintir akan ada kesan ‘later on’ seperti mental illness”.

 

Penjelasan lanjut saya!

Anak yang dibesarkan dengan kasih sayang konsisten walaupun dimarahi banyak kali, selalunya tetap rasa ‘bonding’ dan percaya yang tinggi pada ibu bapa. Kasih sayang sejati (ditunjukkan melalui perhatian, pelukan, sokongan, doa, kata-kata baik) memang jadi “pelindung” atau protective factor yang kuat.

Tapi, kesan marah yang kerap tetap tak boleh dinafikan.

Kalau marah itu kerap, keras, atau berpanjangan, walaupun ada kasih sayang, otak anak tetap simpan memori emosi kuat yang boleh jadi luka. Contohnya: mereka mungkin lebih sensitif, takut buat silap, atau ada ‘self-esteem’ rendah.

Individu berbeza-beza.

  • Ada anak yang “resilien” → boleh ‘cope’ dan kekal rapat dengan ibu bapa.
  • Ada juga anak yang terkesan dalam diam → bila besar, mungkin develop anxiety, depression, atau kesukaran urus emosi.

Walaupun ada antara kita yang berbangga menyatakan pernah dimarah teruk, dipukul dengan batang besi, paip, getah, tali pinggang, malah dikejar keliling kampung, tetapi tetap ‘jadi orang’, hakikatnya itu hanyalah segelintir. Sebenarnya, ramai lagi yang masih bergelut dengan pengurusan dan kawalan emosi, serta menyimpan kesan mendalam dalam diri, walaupun tidak sampai tahap ‘mental illness’. Apatah lagi bagi mereka yang telah disahkan mengalami gangguan mental.

Bagi individu yang ada luka emosi, ‘trigger’ ini bukan sesuatu yang mudah untuk diungkapkan secara terbuka. Ramai memilih untuk jadi ‘silent observer’, mengabaikannya, atau langsung tidak menyedari bahawa ia ada kaitan dengan pengalaman zaman kanak-kanak mereka.

Sebagai kaunselor kesihatan mental selama 19 tahun, saya melihat dengan jelas keterkaitan ini merentas semua peringkat usia — daripada kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah warga emas.

Keseimbangan penting.

Marah itu normal (ibu bapa manusia biasa), tapi kalau terlalu kerap, kasih sayang tidak cukup untuk ‘neutralize’ sepenuhnya.

Yang penting ialah ‘repair’ atau balut semula selepas marah, usah biarkan luka terbuka tanpa diletak ubat dan seangkatan dengannya –> contohnya, ungkapkanlah kata maaf, terangkan semula, peluk si anak, tanya apa dia rasa dan fikir, apa penjelasan dia pula (perspektif dia, dahulukan dia baru kita jelaskan perspektif kita ya), dll. Itu yang buat anak rasa selamat.

Ketika dimarahi, otak anak mengesan situasi itu sebagai ancaman. Mereka mungkin ‘freeze’ pada saat tersebut, tetapi kesannya tetap tersimpan dalam tubuh mereka. Sebab itu, proses re-bonding dengan strategi yang betul:- melalui sentuhan, kata-kata, dan kesungguhan kita, sangat penting untuk membantu mereka berubah daripada rasa tidak selamat (insecure) kepada rasa selamat (secure), pada ketika itu (kalau boleh tidak lanjut ke hari esok, hari itu selesaikan segera ya).

Maka, ingat, ‘bonding’ boleh kekal walaupun ada banyak marah jika kasih sayang kuat, tapi risiko kesan emosi tetap ada pada segelintir anak.

Untuk beri mudah faham, saya buatkan analogi ini:

Analogi “Gelombang & Jambatan”

jambatan dan gelombang - maznah ibrahim

 

Kalau jambatan dibina dengan konkrit kukuh (kasih sayang sejati, konsisten, tunjukkan perhatian & pelukan):

  • Walaupun gelombang datang berkali-kali, jambatan masih berdiri. Anak tetap rasa ada ikatan (‘bonding’).

Tapi, kalau gelombang terlalu kerap, terlalu kuat, atau jambatan tak cukup kukuh (kasih sayang tak konsisten):

  • Ada bahagian jambatan yang mula retak. Dari luar nampak masih ada jambatan, tapi dalamannya rapuh.
  • Retakan inilah yang boleh muncul sebagai masalah emosi atau ‘mental illness’ bila anak besar nanti (sekarang tak tunggu dewasa, waktu awal remaja sudah ada kesan hingga jadi ‘mental illness’)……

Kunci penting:

  • Marah itu normal (gelombang tetap ada).

  • Kasih sayang sejati (jambatan yang kukuh) mesti konsisten.

  • Paling penting, bila ada retak, cepat-cepat repair → minta maaf, peluk, terangkan. Itu yang jadikan jambatan kekal kuat. Ingat tu, OK.

kunci penting jambatan kasih sayang dan ombak - maznah ibrahim

 

Akhir kata, saya mendoakan agar kita semua sentiasa dikurniakan hikmah dan kebijaksanaan dalam mengenali emosi serta ‘trigger’ diri sendiri, menjadi lebih sedar, cepat kembali rasional, dan mampu mengamalkan strategi ini. Amin. InsyaAllah, dengan niat yang baik disertai doa dan usaha, semoga Allah memudahkan urusan kita, menjaga serta memelihara kita semua.

 

Yang Mengambil Berat Ibu Ayah dan Anak-anak,

Maznah Ibrahim
10 September 2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *