Baru-baru ini saya menonton filem ‘Yes Day’.
Sebenarnya saya bukanlah ‘alert’ atau tahu sangat filem terkini. Sudah sangat lama saya tidak menonton filem di Netflix, keranan kekangan masa dan prioriti.
Selalunya bila saya tertonton, memang filem itu akan membantu saya memperoleh input dari perspektif ‘parenting’. Sebelum ini pernah ada beberapa filem tertentu namun saya tidaklah sempat menulis ‘review’ walau ia agak penting juga pada saya. Syukur kali ini saya dapat menulis sesuatu, untuk anda, yang selalu mengikuti penulisan saya.
Ia berkenaan ‘Hari Ya’ selama 24 jam yang mana anak-anak dibenarkan meminta apa sahaja dan ibu ayah akan menuruti (namun dengan kondisi tertentu). Anak-anak akan sanggup buat apa saja permintaan ibu ayah sebelum hari kejadian berlangsung kerana sangat seronok (bermaksud mereka ada kesanggupan sendiri, sukarela dan lakukannya kerana sangat teruja dengan peluang melalui hari istimewa tersebut (‘behave, more discipline’, sanggup kemas rumah, bangun awal pagi dsb).
Di sini saya tuliskan, 5 point utama yang merupakan ‘momen kesedaran’ penting yang boleh kita ambil iktibar, dalam skop telah merubah gaya keibubapaan pasangan ini dan gaya berfikir anak-anak yang mencabar tersebut (dua anak pertama, remaja dan umur sekolah rendah). Akhir perkongsian, filem ini telah berjaya memberitahu kita suatu mesej; iaitu mesej yang saya juga ingin sampaikan kepada para ibu bapa di luar sana.
Merubah gaya keibubapaan ibu bapa ini
- Pasangan ibu ayah ini mula merefleksi tentang gaya keibubapaan mereka, terutama si ibu (daripada autoritarian) dan si ayah (permisif; wujud namun membiarkan), apabila dua guru kepada kelas dua anak mereka (anak pertama dan kedua) yang meluahkan tekanan mereka sebagai seorang anak, melalui penulisan seperti sajak (si sulong perempuan, yang menyatakan dirinya terkurung seperti dalam sangkar, tidak bebas dsb, tambah lagi dia sedang berusaha meminta izin ibunya untuk ke konsert dengan seorang kawan dan sepupu kawan itu, dan ibunya tidak izin, melainkan pergi dengan ibu saja). Si anak lelaki meluahkan stresnya melalui karya videonya yang menunjukkan aksi harian ibu yang macam diktator, marah dan mengarah sahaja (sangat kreatif dan genuin heheh).
Sebenarnya dari sini kita pelajari sesuatu iaitu apabila anak tidak dapat meluah/sampaikan mesej mereka kepada ibu bapa kerana tahu ibu bapa akan menolak, maka mereka sama ada akan tunjukkan luahan itu melalui tingkahlaku salah di sekolah (agresif) atau melalui karya kreatif sebegini. Ini kerana energi kepada emosi terpendam perlu ada saluran keluarnya (jika tidak pasti akan makan diri). Jelas kedua anak ini adalah anak yang masih kategori ‘boleh dikawal’ dan meluah melalui medium seni, penulisan dan video pendek, sihat! 😊.
Setelah mengetahuinya (mereka hadir bersama), si ibu berbincang dengan si ayah dan menyatakan betapa anak-anak melihatnya sebagai ‘bad corp’ (polis jahat) manakala si ayah adalah ‘figure’ baik saja. Si ayah beritahu yang di pejabatnya orang tidak berapa dengar kata dia, manakala di rumah, dia gembira dan bahagia sekali sebab anak-anak akan tersenyum melihat dia sebaik dia pulang ke rumah. Dalam hal ini, si ibu surirumah sepenuh masa dan mengurus anak seorang diri, dan tentunya dengan ketiadaan peranan si ayah untuk tegas, maka si ibu terpaksa menjadi ketua rumah, dominan di rumah dan kelihatan ‘jahat’, kejam oleh anak-anak. Ibu sebenarnya stres, kan?
2. Point berkaitan di atas, momen ketika ibu ayah ini di penjara (kerana si ibu sungguh-sungguh berusaha memenangi patung gorilla besar berwarna pink :D) dan berlaku insiden pergaduhan dengan pasangan lawannya, adalah satu momen kesedaran besar buat si ayah. Si ayah sangat menghargai kesusahpayahan si ibu dalam memenangi patung gorilla ini semata kerana mahu memenangi hati si anak remaja. Si ayah beritahu kepada isterinya, awak tidak perlukan ‘Yes Day’ tetapi awak perlukan seorang pasangan yang membantu dan menyokong awak. Momen ini besar pada saya, kerana si ayah sedar yang isterinya sebenarnya amat tertekan dan harus mengharungi semua ini kerana si ayah tidak memainkan peranan tegas di rumah dan menyokong dengan baik, bahkan hanya membiarkan saja, mengikut sahaja… Sangat bermakna momen ini. 🙂
3. Kait dengan poin 2, apabila pasangan ini harus berpecah dua, isteri ke konsert kakak sulong dan ayah ke rumah untuk hentikan parti eksperimen larva guna ‘baking soda’ si anak kreatif (anak lelaki, anak kedua) ini, si ayah meminta semua kanak-kanak yang kegilaan seronok dengan parti Yes Day di rumah mereka, agar berhenti. Kali kedua, kerana kanak-kanak tidak mendengar, si ayah menjerit menggunakan mikrofon dan bertegas dan semua kanak-kanak berhenti, terkejut, dan si ayah meminta kanak-kanak semua membantu mengemas ‘messy’ itu bersama, dan si ayah mengarah dan menggesa mereka melakukannya.
Kemudian berlaku momen apabila si anak lelaki berkata kepada si ayah bahawa dia tidak pernah melihat karektor ayah pada sisi itu (sisi ayahnya yang cukup tegas, ada daya kepimpinannya), dan dia kata dia sukakan sisi itu, dia bangga dengan ayahnya dan terus memeluk ayahnya (pada asalnya memang ibu telah mengingatkan ayah tak apa ke jika anak lihat dia sebagai ‘jahat’ sebab nak hentikan parti mereka? Kan si ayah selalu good corp, hahah, si ayah kata tak apa.
Dari momen luahan si anak lelaki ini, kita ketahui bahawa anak-anak kita boleh keliru sebenarnya kenapa ayah tidak pernah bertegas, hanya ibu saja, dan mereka mendambakan sisi tegas yang baik itu dari ayah juga. Dan pastinya anak lelaki perlukan rol model dari ayah untuk ditiru, kan? Sangat mahal momen kesedaran ini. Baru ayah tahu yang anak lelakinya suka sisi tegas dia, bukannya tak suka 😉.
Momen kesedaran untuk anak-anak
4. Anak perempuannya mula sedar (momen Aha.. ya lah) bahawa betullah apa yang selalu dikatakan oleh ibunya bahawa usia 14 nya belum sesuai untuk ke konsert dan konsert sebegitu agak bahaya, dan tidak selamat persekitarannya. Ini berlaku apabila si anak ini menolak ajakan rakannya untuk ke khemah yang mana ada sepupunya dan dua kawan lelaki lain. Rasanya memang agenda tidak sesuai/tidak betul iaitu hubungan intim bawah usialah. Bagusnya anak yang dikawal selama ini ada instinct yang benar dan berani untuk ikut kata hatinya: apabila dia kata, “this is not right” dan dia tak mahu turuti, dan kawannya pun ok, tinggalkan dia.
Sewaktu dia melalui celahan ratusan manusia di konsert itu, bateri hp nya habis dan dia merasai perasaan tidak selamat, keseorangan, tidak selesa, apabila orang sekeliling tidak membantu dan mereka seolah agak separa sedar (mungkin ambil pil dadah ke macam tu), dan si anak hanya rasa mahu balik rumah (pastinya sebab rumah adalah tempat selamat untuknya dan konsert itu buat dia rasa tidak selamat).
Di sini akhirnya dia dapat ‘reunite’ dengan si ibu yang serentak dengan itu sedang berusaha untuk tampil ke pentas sebab si ibu tidak berjaya menjumpai si anak perempuannya di celahan ratusan orang itu. Dia tahu anaknya akan marah kerana dia ke pentas dan dia akan berjaya mendapatkan si anak, dengan tidak memalukan si anak dengan memanggil-manggil begitu saja. Dan benar, anak ini sangat gembira menjumpai ibunya di pentas menyanyikan lagu istimewa (ada nama Katie sekali) dan ibu turun dari pentas, mereka berpelukan. Anak mengakui bahawa konsert sebegini tidak cukup selamat, dan ditemani ibu adalah perkara terbaik yang ‘win-win’ dia boleh lakukan. Dia dapat pergi, ibu dapat temani. Kesedaran yang ibu memang betul, dia telah berbuat silap, dan dia meminta maaf… dan hmm best sungguh momen itu sebab kedua-dua mereka dapat berkongsi rasa dua hala, dan tentunya mana-mana ibu akan terima anak-anak mereka walau anak buat silap macam mana pun, kan?
5. Momen si anak lelaki baru merasai perasaan ibunnya bila berkata ‘NO’ di dalam rumah mereka dengan 3 anak sedang membesar agar ‘jangan buat itu, jangan buat ini’ apabila rakan-rakannya yang berpuluh-puluh itu agak kegilaan dan melampaui batas dengan suasana kebebasan parti itu. Malah ada momen apabila dia melihat kawannya mengambil album gambar perkahwinan ibu bapanya yang telah dicontengkan dan berkata “tak apa ibu ayah awak kan kat penjara”. Baru dia tahu perasaan ibu selama ini diktator menyebut No kerana mahu ‘melindungi’, memelihara agar tidak berlaku perkara di luar batasan, kan? Ibunya dengan anak tiga, dan dia dengan puluhan rakan, haa memang havoc. Bagusnya anak ini timbul kesedaran ini dan berasa kesal kerana mencipta ruang kebebasan seperti ini, sehingga luar kawalan dan sebagai orang bertanggungjawab pasti akan menegah orang lain di sekelilingnya.
Mesej saya untuk para ibubapa di luar sana:
1. Apa yang nak ditekankan, bukanlah fokus kepada topik anak salah sentiasa dan kita betul sentiasa, tetapi apa jua tindakan yang kita lakukan kepada anak perlukan kefahaman dan kesedaran antara dua pihak (ibu ayah-anak). Sedar bahawa semuanya untuk kebaikan bukan saja di pihak kita (boundaries/batasan ditetapkan) tetapi juga dalam masa sama kita boleh memenuhi keperluan perkembangan mereka, iaitu hak bersuara, dan didengari sekurang-kurangnya…
2. Kita sedar yang kita tegas kerana mereka masih di bawah usia, perlukan perlindungan kita dan kita tetapkan batasan kerana benar-benar mahu memelihara dan melindungi mereka, dan bukannya kerana melindungi pride/maruah kita (seperti si ayah yang ada keperluan memenuhi emosi dihormatinya dan terlepas pandang peranan sebenar dia di dalam rumah adalah hormat, dari pasangan dan anak-anak, bantu kurangkan beban isteri dan mainkan sisi tegas untuk ditiru si anak lelaki).
3. Bagusnya ibu ini walau macam dikator, sebenarnya dalam dirinya ada sisi enjoy dan fun sebagai seorang manusia, yang mana sebelum dia berkahwin dia dan suaminya amat sporting dan seronok sentiasa, semuanya Yes, kan? Jadi sisi joy dan fun memang ada pada setiap diri kita, yang bermula sejak kita anak-anak lagi. Cuma kita sudah tenggelamkan ia tanpa kita sedar sejak kita ada anak bayi yang mula mobile merangkak ke tempat tidak selamat. Kita terlalu kerap berkata TIDAK kerana kita sangat sayangkan mereka dan mahu mereka selamat sehinggakan kita lupa bahawa kita ada perkataan alternatif, dengan menggunakan perkataan lebih mesra otak bayi untuk dididik memahami, apa yang tidak boleh dan apa yang boleh, “tidak boleh masuk mainan ke mulut, mainan untuk main saja”. Kembalikan sisi fun and joy kita itu dan pelajari penggunaan perkataan yang lebih sesuai untuk menegah anak.
4. Namun di sini, kasih sayang, ambil berat yang tinggi tetap utuh di sebalik kekerasan ketegasan kita, dan ia bantu anak untuk buat keputusan di waktu sukarnya, seperti si anak sulong merasai “eh saya anak sulong saya perlu tengok adik-adik saya sewaktu ketiadaan ibu ayah saya di penjara, saya tidak mahu pergi ke konsert”, dan “Ini tidak betul, saya tidak mahu mengikuti kamu”, yang mana ia merupakan kata hati yang wujud di hati anak ini tatkala waktu sukar, kerana ayat itulah yang selalu kita ucapkan, terapkan kepada mereka. Jadi tidak salah kita selalu ucapkan hypnoscript sebegini sebab ia akan muncul sebagai skrip di kepala si anak sewaktu mereka perlu lakukan pertimbangan.
5. Ramai ibu stres dan jadi pemarah kepada anak kerana sebenarnya mereka kurang sokongan dari suami dalam pelaksanaan tugasan harian mereka di dalam rumah. Maka jadilah ibu ayah yang sama-sama mainkan peranan keibubapaan di dalam rumah, selain tugas kita di tempat kerja. Ibu yang stabil dan cukup bahagia emosinya pasti dapat melaksanakan tugas keibubapaan di dalam rumah dengan penuh kebaikan, kasih sayang yang tinggi dan asuhan yang menepati manfaat kepada perkembangan anak-anak…
Akhir,
Kita pasti akan mendapat pelajaran spesifik dengan apa yang kita ‘nampak’ dan ‘rasa’ nanti semasa menonton filem ini. Pastinya tidak rugi menontonnya bersama pasangan kita :). Selamat menonton.
Maznah Ibrahim
17 Oktober 2021