Seringkali kita terfikir, adakah gaya keibubapaan kita betul (atau salah), dan gaya bagaimanakah yang paling sesuai. Juga yang paling minima kesan tidak elok kepada anak.
Terlalu garangkah? Terlalu lembutkah? Jika tengah-tengah, takut menghala kepada lembut sangat pula, jadi serba tak kena kita.
Jika ayah garang dan terlalu tegas, bolehkah ibu menjadi lembut, untuk harmonikan suasana? Peningkah anak?
Sebenarnya ada soal selidik untuk mengukur tahap gaya keibubapaan kita, dari sudut 3 caragaya; iaitu autoritarian, autoritatif dan permisif, dari PSDQ (Parenting Style and Dimensions Questionnaire), oleh Robinson et al. (2001) dan telah digunapakai secara meluas.
*Gaya keempat tidak ada soalan, sebab jika kita jenis ibu ayah yang tidak terlibat langsung, memang kita tidak akan terbaca artikel ini atau sudi menjawab soalan sebegini, kan?
Empat Gaya Keibubapaan
Tiga gaya keibubapaan menurut Diana Baumrind (1971) adalah :
(i) gaya autoritarian (terlalu tegas/ direct),
(ii) permisif (terlalu memanjakan/lembut/mengalah)
(iii) autoritatif (tegas dalam hikmah)
(iv) tidak terlibat atau mengabaikan
Kita semua akan ada ketiga-tiga ini (autoritarian, autoritatif dan permisif), namun dinasihatkan untuk mengurangkan gaya autoritarian dan gaya permisif, dan tingkatkan gaya autoritatif dalam sehari-hari kita.
Bunyi terma ini boleh mengelirukan.
Mari saya mudahkan.
Tuntutan
Sebagai ibu ayah, kita akan sentiasa ada harapan, atau ekspektasi kepada anak.
Apabila kita telah curahkan kasih sayang, kebendaan, masa, tenaga dan banyak aspek kerana anak, tentunya kita akan ada harapan atau ekpektasi kepada mereka.
Kita laburkan duit untuk bercuti (tangki masa istimewa), dan kita jangkakan ini akan menggembirakan si anak lalu mereka akan mendengar kata. Lebih-lebih lagi setelah anak bising “Lama kita tidak bercuti dan duduk di hotel, kan Ayah”?, contohnya.
Kita laburkan duit juga untuk kelas tambahan Matematik, berhabis minyak kereta menghantar mereka ke lokasinya, dan masa juga diperuntukkan khas untuk aktiviti ini. Maka kita berharap markah peperiksaaan anak kita akan meningkat lebih baik kerana dia lemah dalam Matematik.
Itu adalah normal. Dan itu adalah betul. Sesuai.
Sebagai ibu ayah yang mengambil berat, mengambil tahu dan bertanggungjawab kepada anak-anak, kita ada usaha untuk bantu tingkatkan kesejahteraan mereka dan kita ada ekspektasi kepada mereka.
Gaya Autoritarian
Cumanya bila terlalu tinggi, terlalu keras, tanpa SATU ELEMEN PENTING ini, kita menjadi gaya autokratik atau autoritarian.
Sangat tidak baik untuk kesejahteraan mental, emosi serta keseluruhan perkembangan anak. Stres jadinya. Kita yang akan rugi di kemudian hari nanti.
Gaya ekspektasi tinggi sahaja tanpa mementingkan atau mengambil berat akan emosi anak, mahupun sudi mendengar maklum balas anak berkenaan aktiviti dari ‘pelaburan’ kita itu tadi, adalah adalah gaya autoritarian.
Gaya Permisif
Manakala sekiranya kita seorang yang hanya mementingkan emosi anak, maklum balas anak diambil kira dan dipenuhi keperluannya, tanpa ada sebarang akspektasi, itu dinamakan sebagai gaya permisif.
Kita mudah kecundang, dan kalah dengan permintaan anak sentiasa. “Semuanya ibu ayah turutkan, katakan apa saja”.
Kita berjanji menuruti apa diminta, semata kerana mahu emosi anak elok, dan tidak menangis di khalayak ramai, kerana emosi mereka amat penting, dan kita tidak harap apa-apa melainkan mereka gembira dan bahagia semata. Mereka WIN sentiasa.
Itu juga tidak baik.
Sederhana dalam Pelaksanaan
Sebaiknya, sederhana.
Ada ekspektasi, tuntutan dan harapan. Dalam masa yang sama, mengambil berat akan emosi mereka, dan sudi mendengar maklumbalas dari mereka tentang apa yang kita harapkan itu.
Apa masalah dia dalam memenuhi tuntutan kita itu tadi. Ok atau tidak ok, apa cabaran dan apa pandangan mereka?
Contoh kita melabur duit untuk kelas tambahan Matematik itu tadi, dan anak ditanya bagaimana perasaannya, bagaimana penerimaannya, bagaimana proses dia melalui kelas-kelas tambahan ini, luahannya didengari.
Bila ditanya, baru tahu yang rupanya dia cemburu tidak dapat duduk di rumah hari minggu dan bermain game seperti adik dia kerana masanya telah diambil untuk kelas tambahan Matematik ini. Sebab itu dia lagi marah-marah dan tidak meningkat pun usaha untuk perbaiki kefahaman Matematiknya.
Maka perlu penambahbaikan, atau penyesuaian jadual dan aturan, dan ini boleh dibincangkan semula.
Pokoknya anak tahu ekspektasi, tuntutan serta harapan kita, dan kita juga tahu perasaan dan kekangan mereka.
Kita mendengar, serta tahu maklumbalas penerima ‘aktiviti yang disusun’ ini.
Ibarat perkhidmatan pelanggan, ada maklumbalas pelanggan. Kita pun ubahsuai perkhidmatan kita dari maklumat mereka.
Gaya Autoritatif
Itulah yang dinamakan sebagai gaya autoritatif, iaitu gaya yang paling baik, sesuai dan memberi situasi menang-menang bagi ibu ayah dan si anak.
Seimbang, gembira, puas hati, kedua pihak. Ibu ayah dan anak.
Maka matlamat kita akan dapat tercapai dengan jayanya tanpa melukakan emosi mereka.
Tentunya kita tidak mahu terkejut apabila tiba-tiba sahaja anak memberontak dan meluah yang selama ini dia diam, dan menurut sahaja permintaan dan ekspektasi kita, kerana tidak sampai hati, tidak mahu melukakan hati kita mahupun sebab takut untuk bersuara. Takut dimarahi, dihukum dan ditambah beban ekspektasi lagi.
Maka rosaklah pelan kita di hujung proses.
Kalau boleh, biarlah di awal proses sudah diketahui apa permasalahan dan segera dibaiki.
Parenting Style Assessment dalam Bahasa Melayu
Jemput menjawab soalan ‘Parenting Style Assessment’ itu di sini, dan dari sini kita akan bergerak untuk perbaiki diri kita. Dah tahu keputusan atau tahap, baru boleh plan untuk perubahan, kan?
Silakan, kongsi kepada ramai kawan kita di luar sana.
Maznah Ibrahim