Dulu, kita ingat, senang aja nak puji anak ni…
“Bagusnya adik”
“Pandainya adik”
“Comelnya adik”
“Sihatnya adik”
“Kuatnya adik”
Skil capaian badan adalah jauh lebih mudah dicapai seorang anak berbanding skil capaian kognitif
Maznah Ibrahim
Ini antara pujian yang biasa kita ucapkan secara spontan kepada anak-anak kecil kita.
Kecil-kecil, biasanya kita mudah rasa kagum dengan kemampuan anak kita walaupun hanyalah kepandaian menepuk tangan dan senyum kepada orang asing.
Bila dah besar, sangat banyak adegan marah ibu ayah kepada anaknya.
Mengapa?
Ia berlaku kerana ekspektasi ibu ayah terhadap capaian anak semakin meningkat, seiring dengan usia dan kemampuan kognitifnya. Berubah dari level ‘badan spontan’ kepada capaian hasil yang semakin tinggi, sedang kita lupa capaian kognitif setiap manusia adalah berbeza potensi dan arah bidangnya walau capaian badan mungkin hampir sama potensinya.
Proses dan Hasil
Sebenarnya kita terlupa mengenai proses pembentukan kepada hasil si anak yang kita harapkan kini.
Sewaktu kita tak berharap apa-apa, kita ‘terkagum’ lihat anak tiba-tiba pandai menepuk tangan dan memukul bola (belajar melalui pemerhatian sendiri/ atau memang diajar secara bertujuan oleh ibu ayahnya).
Semakin tinggi tangga anak naiki (usia dan perkembangan), semakin tinggi hasil yang kita harapkan.
Namun serentak dengan itu juga sebenarnya anak manusia ini menjadi semakin kompleks proses pembelajaran dan input yang perlu dia terima, proses dan keluarkan hasilnya selepas itu, kerana manusia ini sangat dinamik, unik dan kompleks.
Nak nak capaian dan kemampuan setiap anak pula adalah berbeza (a.k.a unik, tidak sama). Ia tidak jadi semudah otomatik boleh terhasil, kerana pastinya ada proses kemasukan input yang sesuai atau tidak sesuai telah masuk, yang membuatkan hasilnya begitu.
Tanpa sedar ada input kurang enak diterima si anak sehingga dia berasa kurang selesa/bahagia dan tindakannya juga tidak seperti yang kita mahukan.
Pujian Subjektif, Betulkah Selama Ini?
Isunya bercakap tentang perkara subjektif seperti pujian di atas, memang ‘endless’ dan umum. Ia sangat subjektif!
Pandai, pandai apa? Pandai senyum? Senyum dan suka sampai ternganga, tergelak, tersipu-sipu malu, atau terkekeh-kekeh ketawa?
Bila dah besar sedikit dan mula tidak berapa rajin nak senyum, nak kata anak tak pandai senyumkah?
Sedangkan pastinya dia masih pandai mengukir senyuman, cuma kini dia banyak dimarahi dan tiada hujanan pujian lagi seperti dahulu kala….
Perlu diingati kemampuan badan manusia secara fitrah secara dasar adalah sama, namun hasil kemahiran berhemah (soft skill) adalah sesuatu yang perlu dipelajari.
Pandai mengucapkan ‘Ibu’ adalah mudah, namun mengucapkan “Wahai Ibu Ahmad yang tersayang” adalah perlu dipelajari dan diberi input secara spesifik kepada si anak melalui pemodelan yang betul.
Validasi Emosi Kita Sebagai Permulaan Penuturan Kata Pujian
Kini kita tukar cara biasa.
Kajian menunjukkan kanak-kanak tidak faham dan tidak berupaya mengukur perkara subjektif, seperti berapa banyak bersih pinggan yang dia cuci, berapa licin atau bersih lantai yang dia telah usaha untuk lap (air tumpah), dan berapa banyak gagah dan kuatnya dia untuk mengangkat bola masuk ke kotak.
Yang dia dengar dahulunya adalah “adik pandai, adik bagus, adik kuat, adik hebat”, dan dia nampak ketika itu ibu ayah gembira teruja, dan kini dia tidak lagi mendengar kata-kata pujian itu tetapi dia mula mendengar perkataan-perkataan yang buat dia rasa keliru dan tidak enak lagi.
Tukarlah cara penuturan perkataan kita kepada mereka dengan mengucapkan perasaan kita terhadap perkara yang dia lakukan.
PENTINGNYA PENGUCAPAN EMOSI KITA DALAM PENUTURAN KATA PUJIAN KEPADA ANAK
Banyakkan menyebut “kita suka, bangga atau kagum”.
“Mama suka tengok adik usaha nak lap air tumpah tu!” (walau lapnya tidak kering lagi)
“Mama bangga adik cuba nak basuh cawan air minum adik tadi!” (walau cawan dah basuh diletakkan di ruang yang bukan tempat kita biasa letak)
“Mama suka tengok senyuman adik, buat hati mama jadi riang” (walau senyumannya bergigi rongak sebab baru keguguran gigi bongsu)
“Mama gembira tengok adik makan habis, nanti badan adik lagi kuat dan sihat lawan virus” (walau makannya hanya 1 suapan).
SEBAB DIRI DIA SENDIRI
Maka apabila dia dengar pujian berbentuk emosi kita, dia sedar dan dia belajar yang perlakuan itu adalah digemari oleh ibu ayah dia (dan boleh membezakan perkara yang sama mungkin tidak mendapat pujian dari individu lain, sebab pujian itu adalah milik si pengucap).
Dia juga sedar dan belajar yang setiap perkara (termasuk emosi) ada pencetus, faktor atau penyebabnya, ia tidak berdiri sendiri. Sebutkan emosi kita beserta penyebab/pencetus (yang pastinya melibatkan diri dia) sekali agar anak jelas dan boleh ulangi perkara yang kita sukai itu.
Ini kerana pujian dari emosi kita sendiri, akan menyebabkan dia berasa ‘suka / bangga’ sekali, maka dia juga akan mengulangi sebab dia rasa gembira (ganjaran untuk diri dia sendiri bila berbuat perkara baik yang ibu ayah suka!). BUKAN SEMATA SEBAB NAK ‘PLEASE’ ATAU GEMBIRAKAN KITA.
KINI DIA MENGULANGI PERBUATAN BETUL ITU KERANA DIA SENDIRI BERASA GEMBIRA MELAKUKANNYA…. Nah! Itulah ‘ultimate’ kepada apa yang kita sedang usahakan (menanam benih baik ini). 😀
Perilaku Tidak Wajar Pula Nak diberi Kata Apa?
Namun, dia juga akan sedar ada perkara-perkara tertentu yang kita tidak suka, dan boleh buatkan kita marah.
Konsep yang sama. Kita sebutkan perasaan kita (pengesahan kepada perlakuan dia yang telah mencetuskan emosi kita).
“Mama rasa sangat sedih bila tengok adik pukul adik baby yang nak main sama-sama” (emosi kita dan pencetusnya)
Kemudian sambung: “Mesti adik baby sakit, terkejut dan sedih juga”.
Kemudian beri solusi: “Abang main sama-sama dan beri sikit objek ni kepada adik baby. Nanti adik baby pun akan sangat happy dan lagi sayang kat abang yang baik hati dan pemurah ni”
(ada kata sifat di sini, namun kata sifat itu berlaku kerana ada pencetus, ada penerangan contoh tingkah laku yang betul untuk dia ketahui ia boleh berlaku, hasil dari tindakan baik dia, yang boleh beri kesan kepada orang di sekitar dia).
Ini kerana kanak-kanak belajar pengesahan makna kepada satu-satu tindakan, dari ayat tutur kata kita serentak sewaktu kejadian.
Kognitif dia berkembang dan semakin matang, rasional dan jelas dari makna-makna dan hubung kait yang kita beritahu atau perjelaskan pada waktu kejadian.
Ironinya dia tidak mendapat makna yang betul ketika berlaku peristiwa tidak baik, kerana hanya menerima ‘perlakuan’ hukuman dari tindakan kecilnya, tidak berkongsi mainan dan terus dimarahi (tiada proses mendidik yang betul ketika itu).
Solusi Tindakan Betul
Teruskan beri solusi yang betul selepas validasi emosi kita.
- (i) Validasi emosi dari perlakuan spesifik – emosi pengucap, iaitu ibu / ayah kepada si anak
- (ii) Solusi tindakan seterusnya disarankan agar membantu suasana lebih baik dan emosi positif.
- (i) Mama rasa sangat sedih ….bila abang ketuk kepala adik …
- (ii) Mama nak abang beri aja 2 kiub ni kepada adik baby.. nanti adik baby akan ….
Mudahan anak-anak akan belajar cara yang betul dan terbaik, sewaktu dia berbuat kesilapan, dan tindakan kita memberikan rasa emosi baik kepada tindakan baru seterusnya yang disarankan/ dianjurkan, dan adalah paling win / win besar dalam proses pendidikan kita kepada mereka!
Hasil yang Baik Adalah dari Proses yang Betul Secara Berterusan
Teruskan belajar dan perbaiki diri.
Tiada yang sempurna sebab kita semua adalah makhluk pembelajar..
Tidak akan berubah satu-satu perkara itu selagi tiada usaha perubahan kecil dimulakan.
Lakukan saja dan rasakan perbezaan emosi kita sendiri.
Alah bisa tegal biasa, berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian.
Yang penting, BUAT AJA ya.
Saya doakan untuk semua kita, insyaAllah, beroleh hikmah dan ilham dalam pelaksanaan pembentukan peribadi anak kita setiap hari, dengan kuasa kasih sayang dan ambil berat kita terhadap anak kita sendiri dan masyarakat kelak.
Tanggungjawabnya adalah dari kita sendiri bukan siapa-siapa. Tiada magik, yang ada hanyalah kuasa konsistensi dari amalan kecil yang betul.
Kita mahu anak berbuat baik bukan kerana mahu dipuji, tetapi kerana dia sendiri berasa gembira melakukan tindakan betul itu.
Maznah Ibrahim
Dapatkan alternatif perkataan baik untuk tingkahlaku anak di sini: