DALAMI DAN SOKONG JIWA ANAK-ANAK LALUI PROSES PEMBELAJARAN
Sejak kebelakangan ini ahli masyarakat kita bising membicarakan tentang ketidakmampuan anak-anak kita dalam mengharungi proses pembelajaran di sistem persekolahan formal bermula usia 7 tahun yang dikatakan agak tidak bersesuaian.
Umum mengetahui bahawa anak-anak kita pada ketika ini merupakan hasil dari cara belajar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang “on” dan “off” selama hampir dua tahun kerana situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu.
Perlu difahami juga bahawa anak sekolah rendah melalui fasa transisi dari sistem pembelajaran tidak langsung di rumah, ke sistem pendidikan prasekolah (tadika) dan kemudian ke sekolah rendah yang berada di bawah payung sistem pendidikan yang lebih besar dan sistematik.
Persoalannya, adakah kita telah berjaya menyokong transisi ini dengan menyediakan persekitaran yang cukup selamat, sihat dan sejahtera terutama dari aspek emosi demi menyokong kemampuan mereka untuk ‘membawa’ ilmu yang diberikan di peringkat sekolah rendah hingga seterusnya?
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ketiga negara kita juga mahukan seluruh warga negara kita sihat dan sejahtera, dan anak-anak kita yang sihat sejahtera inilah yang akan meneruskan aspirasi negara kita selanjutnya.
Tapak Asas Kesihatan Mental
Sebenarnya persekitaran yang selamat (fizikal dan emosi) adalah tapak asas yang penting dalam membantu kesihatan mental anak-anak kita di Malaysia. Ia terdapat di dalam model kerangka konseptual terkini oleh UNICEF dan KKM yang dikeluarkan laporannya pada Ogos, 2022. (Lampiran)
Jika tapak asas dari sekolah rendah menerusi sistem pendidikan formal sudah membuatkan anak-anak mengalami suasana persekitaran yang kurang seronok, kerana tuntutan kerja sekolah dan konten yang tinggi, bagaimana emosi teruja dengan ilmu itu boleh berlaku?
Status Kesihatan Mental Sedia Ada
Sebelum tempoh PKP, kajian NHMS 2019 mendedahkan seramai 7.9% kanak-kanak dan remaja berusia 5-15 tahun, atau 424,000 mereka ini didapati ada mengalami gangguan kesihatan mental.
Ia sebenarnya bermaksud 1 dalam 13 anak-anak kita, sudah ada isu kesihatan mental. dan itu adalah sebelum PKP.
Sebenarnya, ramai juga anak-anak lewat ini yang tidak mahu ke sekolah dan rasa berat untuk ke sekolah sehingga komplen rasa sakit itu dan ini yang tidak dapat dijelaskan secara penilaian kesihatan fizikal biasa.
Psikosomatik di kalangan kanak-kanak adalah satu keadaan di mana seseorang individu itu mengadu ketidakselesaan fizikal badan yang sebenarnya berpunca dari tekanan emosi dirasai yang tidak dapat diluahkan dengan baik dan mudah difahami orang dewasa. Ia mungkin diluahkan melalui aduan rasa sakit kepala, sakit perut, sakit dada mahupun sakit badan, muntah serta sukar tidur.
Bunyinya kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka. Mereka mungkin mengalami tekanan emosi dari dalam yang tidak dapat diluahkan secara lisan dengan mudah. Ini kerana faktor usia dan kognitif dalam menjelaskan sesuatu perkara yang subjektif dengan korelasi yang logik diterima oleh orang lain.
Selain itu kanak-kanak juga tidak mampu untuk mengelak atau melarikan diri dengan mengambil surat sakit di klinik. Mereka juga masih bergantung kepada ibu bapa dan orang dewasa demi kelangsungan hidup mereka.
Apa yang Mereka Perlu?
Anak-anak perlu rasa cukup seronok dengan konten suasana dan ekspektasi pembelajaran. Apa yang ingin kita tanam adalah sikap yang positif terhadap ilmu, dan gembira melalui proses pembelajaran yang akan mereka hadapi di sepanjang kehidupan mereka hingga mati.
Fasa Kematangan Emosi Terhadap Ilmu
Usia tadika, secara fitrah, kanak-kanak amat seronok kerana banyak elemen bermain sambil belajar dan sistem pengurusan pendidikan tidak terlalu kompleks. Ibu bapa juga boleh akses kepada pengurusan pihak sekolah tadika dengan lebih mudah dan cepat termasuk aspek komunikasi.
Sekolah rendah, yang telah alami proses pembelajaran dari tadika, kini perlu mampu sesuaikan diri dengan suasana, dan sistem pembelajaran itu sendiri. Mereka perlu dibantu untuk melalui fasa pendidikan formal ini agar kekal rasa seronok, teruja dan tidak sabar dengan input baru diperolehi saban hari. Namun sebagai pendidik dan ibu bapa kita tetap mahu ‘ikat’ emosi ‘suka’ dan ‘cinta’ kepada ilmu menerusi saluran pendidikan di dalam sistem formal ini.
Di peringkat sekolah menengah nanti, mereka akan semakin berdikari dan meneroka ilmu bersama kelompok sosial rakan sebaya bagi memenuhi keperluan setiap mata pelajaran. Ia berkesinambungan dari hasil ‘ikat’ emosi sudah ‘suka’ dan ‘cinta’ kepada proses ilmu di sekolah rendah sebelum itu.
Akhir, di peringkat pengajian selepas alam persekolahan formal nanti, mereka akan bebas mendalami bidang khusus yang mereka minati. Ini sebagai batu loncatan menawan kerjaya yang mereka sukai kelak.
Jika tangga pertama sudah rapuh, bagaimana mereka akan membawa diri, untuk berdiri teguh bagi melalui proses pembelajaran yang semakin mencabar di peringkat seterusnya?
Dengari
Dengari suara anak-anak ini dan selami apa emosi mereka terhadap proses pembelajaran. Setidaknya mereka rasa tenang dan ‘sejuk’ kerana telah didengari oleh ibu bapa. Namun dalam masa yang sama kita sebagai ibu bapa tetap menggalakkan mereka untuk menghormati proses ilmu itu tanpa menekankan hasil yang mesti sempurna.
Peranan
Kita tidak dapat mengubah sistem pendidikan formal untuk jangka masa pendek ini. Maka kita lebarkan payung kasih sayang dan empati kita dengan menggalakkan anak-anak kita memperoleh ilmu secara tidak langsung melalui hobi atau aktiviti yang mereka gembira lakukan saban hari. Ini agar mereka akan seimbang dalam emosi sekiranya ada rasa tekanan dengan tuntutan di sekolah.
Mudahan kita sebagai ibu bapa dan individu dewasa dapat menjadi penyokong kepada persekitaran selamat dan gembira mereka. Mereka akan meneroka ilmu yang lebih jauh, luas dan panjang pada masa akan datang. Kitalah ‘payung kecil’ yang terhampir dengan mereka.
Maznah Ibrahim
19 Oktober 2022