Dalam pada anda pernah dan selalu rasa geram dan terlepas pandang fitrah anak usia bawah 7 yang BERMAIN ini,
Eloklah kita merefleksi akan keberadaan / kesediaan anak usia ini yang sebenarnya memang ‘adalah RAJA KECIL’.
FASA ANAK 0-7 TAHUN
Fasa STATUS perkembangan anak usia 7 tahun pertama ialah RAJA‘, manakala RUANG LINGKUP nya adalah BERMAIN.
Ia berdasarkan riwayat Rasulullah s.a.w dalam membahagi tahap kehidupan seseorang, “Dalam tujuh tahun pertama, anak adalah RAJA; tujuh tahun kedua, menjadi PEMBANTU (yang harus taat dalam menjalankan perintah); sedangkan tujuh tahun ketiga, menjadi WAZIR (menteri) yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugasnya”.
Fasa ruang lingkup yang dijelaskan Rasulullah s.a.w adalah sebagai, “Biarkanlah anak-anak kalian bermain dalam tujuh tahun pertama, kemudian didik dan bimbinglah mereka dalam tujuh tahun kedua, sedangkan tujuh tahun berikutnya jadikan mereka bersama kalian dalam musyawarah dan menjalankan tugas“.
Untuk anda yang punyai anak berusia bawah 7 tahun, bagaimana kita menjaganya? Jika seorang RAJA, pastinya kita harus hormati dan melayani segala keperluannya, kan? Tidak mungkin kita akan boleh membentak, memerintah atau memukul RAJA ini, malahan RAJA ini ada hak, atau ruang lingkup sebebasnya sehingga boleh memecat atau menghukum kita!!!
Cumanya, anak fasa 1 ini adalah RAJA KECIL yang ruang lingkupnya bukanlah di singgahsana dan memerintah hal besar. Tetapi ruang lingkup RAJA KECIL di rumah kita ini adalah BERMAIN 😀
Sedutan diolah dari buku Orang Tuanya Manusia oleh Pak Munif Chatib.
Cumanya, saya melihat, anak kecil fasa pertama ini, memang perlu dihormati dan dipenuhi keperluannya, dan dikasihani, sama seperti doa anak untuk ibubapanya (kasihanilah ibubapaku sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu kecilku).
Dari rasa kasihan inilah terbentuk atau terbinanya empati pada diri si anak kecil yang bersiap sedia untuk menjadi PEMBANTU kelak bagi fasa keduanya (7-14 tahun).
Contoh,
Kasihan, anak bayi tidak boleh bergerak dan menyuarakan apa kehendaknya, kan? Hanya bahasa merengek dan menangis bagi menyatakan keperluannya. Ibu bapa yang faham keperluan si anak akan segera memenuhi keperluan asasi fizikalnya dan emosinya.
Kasihan, anak usia 1-2 belum cukup kuat pegangannya, hingga mudah terjatuh cawan dan sudu semasa makannya, maka ibubapa prihatin empati akan berikan cawan mesra bayi, cawan plastik dan tidak dimarahi kerana faham dia masih kecil.
Kasihan, anak usia 2-3 amat ketot (tidak tinggi), maka tidak dapat mengambil sendiri biskut di rak dapur tinggi, maka ada antara anak ini (terutama usia 3 ke atas) mula mengambil sendiri kerusi dan memanjat untuk ambil sendiri makanan tinggi itu – kelak dimarah????
Dan, anak usia 3-6 sudah boleh empati dan melakukan satu tugas kecil, berkhidmat untuk ibubapanya kerana sewaktu usia 0-3 nya, ibubapa amat empati dan membantu pembentukan karektor mandirinya.
Dari rasa KASIHAN – dibuatkan segalanya, kepada EMPATI, dibantu agar anak ini boleh berdikari, lakukan sendiri sesuai dengan fitrahnya mahu lakukan sendiri (fasa autonomi ada bermula usia 1 tahun – mahu lakukan segalanya sendiri).
Dari empati ini, anak ini akan mulai lakukan sendiri khidmat kecil pabila ibubapa benar-benar perlukan bantuan.
Ada kajian dilakukan, dan didapati anak bawah usia 1 juga sebenarnya boleh lakukan khidmat kecil dari rasa empati kepada kesusahan ibunya semasa tidak dapat ambilkan sesuatu barang (saya ada eksperimen lakukan di bilik air, berpura-pura tidak dapat capai gayung dan si anak bawah usia 1 saya ini ambilkan gayung itu).
Jadinya, maksud saya, layani keperluan anak fasa ini dengan sebaiknya, dan penuhi serta hormati kehendaknya dengan beri peluang dan ruang mereka berkarya imaginasi mereka.
Pernah rasa tak, jika anak kita adalah anak orang lain (katakan anak kawan tumpangkan sebentar di rumah kita, atau kita mengasuh anak orang), pastinya kita layani dia dengan sangat baik. Tetapi anak sendiri, kadangkala atau kerapnya kita jadi macam singa jadian atau hulk atau dinasour pupus. Take for granted orang kata. Macamlah anak ini milik mutlak kita (tidak, anak ini amanah untuk kita dan pemiliknya adalah ALLAH, kelak akan dikembalikan samada redha atau tidak).
Maka TIDAK SUKAR sebenarnya jika dilayan, dihormati dan dipenuhi keperluan perkembangannya tahap ini (AS IF ANGGAP ANAK INI ADALAH RAJA KECIL), pabila tiba masanya, mereka akan mula memberi khidmat kepada anda, sebagai persediaan status PEMBANTU semasa fasa kedua kelak 7-14 tahun. Ia amat ‘crucial’. ‘Golden age’ orang kata.
Teringat anakanda Fateh, sewaktu usia 3 genap sudah mampu ambilkan air suam untuk saya sewaktu berpantang dan dodoikan adik bayinya sewaktu saya solat, dan kini masih lakukan khidmat kecil sama ini sewaktu usia 6, dengan adik keduanya (dapat adik usia 3 dan 6).
Manakala Khairunnisa’ kini 3 tahun yang dilayan seperti Lady Boss kecil dengan fasa detox eczema dan sangat emosinya, namun sewaktu rasionalnya, mampu ambil sendiri tisu untuk lap mulutnya sedangkan sebelum itu dia meminta saya ambilkan dan saya memikirkan anak ini RAJA KECIL maka saya layaninya saja. Kali kedua dia mahu tisu, sebelum itu saya adukan kepadanya perut saya amat sakit kerana ‘krim pedas’ dalam bengkung di perut dengan wajah kesakitan amat, tetiba dia dengan prihatinnya terus ambil tisu untuk penuhi keperluannya sendiri (ladyboss ini makannya kena sempurna). Belum termasuk khidmat kecil lain seperti ‘mak mak mengasuh anaknya’ untuk ibu dan ayahnya (buatkan air, masakkan makanan, pujuk jika abangnya sakit/ketakutan, urut dsb).
Jadi, BERSABARLAH untuk ibubapa yang punyai anak usia fasa ini. Kelak anak RAJA KECIL kita ini akan menjadi PEMBANTU yang baik dan MENTERI/WAZIR yang bertanggungjawab dalam laksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya kelak.
SABAR, dan layani dengan penuh HIKMAH.
Sebab, asasnya untuk anak usia ini adalah: KASIHAN…. dia banyak tidak tahu, banyak tidak boleh, banyak kurangnya… lalu di EMPATI, dibantu untuk lakukan sendiri kerana saat tertentu memang mereka ‘eager’ untuk lakukan sendiri, belajar sendiri, tahu sendiri. Kitalah yang perlu ssi gelas kosong yang mereka tadahkan itu.
Dan, RUANG LINGKUP RAJA KECIL ini adalah BERMAIN!!!
Izinkanlah rumah anda sebagai tempat bermain dan bereksperimen si RAJA KECIL ini, dan fahamilah mereka sentiasa berfikir untuk ‘apa nak main’ lepas ni. Jadikan belajar mereka sebagai MAIN jika anda jenis ajarkan anak sejak bayi.
Refleksi,
Ibu yang kadangkala ada silapnya,
Mahu melihat dari kacamata hati nurani Ilahi,
ANAKKU RAJA KECIL yang ruang lingkupnya BERMAIN….
Maznah Ibrahim.